Lelaki tua dilarang daripada mewarnakan
rambut dengan warna hitam kerana ditakuti akan menjadi satu penipuan dari segi
usia.
Perkara ini dapat difahami berdasarkan kepada satu hadis di mana pada ketika Pembukaan atau Pembebasan Kota Makkah, Abu Bakar membawakan bapanya, Abu Quhaafah berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila melihat rambut Abu Quhaafah yang putih, lalu baginda bersabda bermaksud: ”Tukarlah ini, tetapi elakkan hitam.” (Fath al-Bari)
Sebaliknya, sekiranya seseorang itu tidak
terlalu tua, tidak salah menggunakan pewarna hitam. Dalam hal ini,
az-Zuhri berkata: ”Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila masih
kelihatan muda, tetapi meninggalkannya setelah muka berkedut dan tidak bergigi.”
(Dicatat oleh Abu Asim dalam kitab ’Mewarna Rambut’)
Oleh itu, bagi lelaki yang sudah tua dan
mempunyai uban hampir keseluruhan tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna
hitam.
Untuk menggantikan warna hitam, warna yang sesuai ialah warna inai yang kekuningan. Warna hitam ini hanya dibolehkan semasa peperangan bagi menggambarkan bahawa tentera itu masih muda dan kuat.
Terdapat juga ulama yang menyatakan hukum
mewarna itu makruh berdasarkan kisah Ibnu Masaud yang masih muda dan mempunyai
uban yang bercampur dengan rambut hitam.
Beliau
tidak dibenarkan kerana usianya masih muda dan dengan perbuatan mewarna rambut
untuk menutupi uban akan menyebabkan rambutnya bercampur warna antara kuning
dengan hitam.
Begitu
juga ada ulama yang menyatakan sunat iaitu berdasarkan hadis riwayat Bukhari
yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarna rambut, maka
berbezalah dengan mereka.”
Orang-orang
Yahudi dan Nasrani dikatakan tidak mewarnakan rambut mereka kerana beranggapan
sebagai tabarruj dan perhiasan yang bertentangan dengan sifat warak serta
soleh, yang tidak sesuai dengan para rabbi, pendeta dan golongan agama mereka.
Oleh
sebab itu, Rasulullah SAW melarang daripada meniru cara dan amalan mereka ini
agar orang Islam mempunyai ciri-ciri penampilan dan amalan tersendiri.
Maka, untuk membezakan dengan golongan
ini, maka adalah sunat orang Islam mewarna rambut tetapi mengikut syarat yang
ditetapkan.
Di samping itu, ada ulama menyatakan ia
harus kerana ada di kalangan sahabat yang mewarna rambut dan sebaliknya.
Justeru itu, penggunaan inai dan katam (sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai
bahan pewarna) digunakan untuk menutupi uban itu.
Penggunaan warna hitam untuk menutupi uban
pada lelaki tidak digalakkan untuk yang sudah tua kerana wujud unsur penipuan
umur.
Tetapi bagi yang berusia 30 tahun hingga 45 tahun yang berkahwin telah mempunyai uban dibolehkan menggunakan warna hitam dengan syarat untuk menjaga hubungan suami isteri.
Bagaimanapun setiap orang harus mengenali
dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya
bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu, pada
hal usianya telah tiba untuk bertaubat, sebenarnya orang itu tidak sedar diri.
Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua dan memerlukan perubahan ke arah kebaikan kerana usia semakin tidak panjang.
No comments:
Post a Comment