Allah mewujudkan golongan kaya dan
fakir miskin supaya antara kedua golongan itu dapat hidup saling membantu,
saling menggunakan kepentingan dan saling menghormati.
Allah menjadikan golongan kaya dan
miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan
sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah
al-Nahl, ayat 71).
Kita perlu sedar realiti kehidupan
yang mana kedua-dua golongan kaya dan miskin saling
memerlukan. Golongan kaya mendapat harta dengan menggunakan tenaga
orang miskin (secara relatif) sebagai buruh. Manakala golongan
miskin pula mendapat upah atas khidmat yang diberikan.
Sekiranya semua orang memiliki
kekayaan yang sama dan tidak lagi mengharapkan upah daripada orang lain, tidak
ada individu yang sanggup melakukan kerja untuk orang lain. Ketika itu,
kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti lagi.
Bersedekah termasuk dalam kategori
membelanjakan harta ke jalan Allah. Ganjaran yang diterima berlipat
ganda berbanding apa yang telah dibelanjakan. Allah Maha Kaya
melimpahkan rezeki berganda kepada hamba-Nya yang melakukan amalan kebajikan.
Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan
orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh
menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji
dan Allah melipat gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah
Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).
Walaupun golongan kaya telah
menyumbang kepada golongan miskin dalam bentuk upah atau membayar khidmat yang
dilakukan, adalah lebih baik ditambah pula dengan dengan
sedekah. Memberi upah adalah tanggungjawab majikan yang tidak
termasuk dalam kategori sedekah.
Sedangkan sedekah adalah memberi
kepada orang lain tanpa mendapat apa-apa balasan daripada orang itu yang menjadi
lambang keikhlasan. Apa diberikan itu semata-mata kerana ketakwaan
kepada Allah tanpa mengharapkan balasan daripada penerima sedekah
itu.
Orang yang bersedekah membuktikan
dirinya tidak dilalaikan dengan kemewahan yang dimiliki. Harta
adalah sebagai ujian untuknya.
Sesiapa ingin bersedekah hendaklah
mempastikan segala perbelanjaan diri sendiri dan keluarga
dipenuhi. Sebenarnya tidak harus seseorang itu bersedekah sekiranya
keperluan sendiri tidak mampu dipenuhi. Dia sepatutnya menerima
sedekah dan bukannya memberi sedekah.
Maksud memenuhi keperluan hidup ialah
berkaitan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang
seadanya telah dimiliki. Konsep ingin bersedekah hanya apabila
semua apa dikehendaki dipenuhi maka tidak mungkin dapat dilakukan kerana
kehendak manusia tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.
Sesungguhnya harta itu ialah amanah
Allah kepada seseorang. Kita hanya sebagai
penjaga. Menyedari hakikat itu, maka belanjakan ia mengikut seperti
perintah pemilik hakikinya, iaitu Allah.
No comments:
Post a Comment