Biarpun Islam menggalak umatnya mencari dan mengumpul harta, namun pada masa yang sama, Islam juga amat mementingkan aspek pengagihan
harta. Antara instrument pengagihan harta ialah sedekah.
Sedekah ialah pemberian golongan kaya
atau berkemampuan kepada golongan fakir dan miskin sama ada berupa wang,
makanan, pakaian, peralatan keperluan hidup dan tempat
tinggal. Amalan itu amat digalakkan agar diperbanyakan dalam
masyarakat.
Nabi Muhammad sentiasa menjelaskan
mengenai keutamaan bersedekah. Baginda sentiasa bersedekah dan turut
menjadi ikutan para sahabat. Bahkan, para sahabat yang miskin juga
turut bersedekah mengikut kemampuan
masing-masing.
Amalan bersedekah membentuk semangat
tolong menolong, saling menghormati dan terhindar daripada perasaan benci dan
mementingkan diri. Ikatan persaudaraan terjalin erat dan padu
melalui hubungan sedekah.
Kebaikan amalan bersedekah dapat
dilihat secara zahir maupun spritual. Pemberi sedekah melaksanakan suruhan
agama sebagai jalan menghampirkan dirinya dengan Allah. Manakala
penerimanya dapat memanfaat apa yang diterima untuk menampung keperluan hidup.
Bersedekah termasuk dalam kategori
membelanjakan harta ke jalan Allah. Ganjaran yang diterima berlipat
ganda berbanding apa yang telah dibelanjakan. Allah Maha Kaya
melimpahkan rezeki berganda kepada hamba-Nya yang melakukan amalan kebajikan.
Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan
orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh
menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji
dan Allah melipat gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah
Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).
Manifestasi kebaikan sedekah
digambarkan melalui terbentuknya tali persaudaraan dan silatulrahim yang kukuh
antara golongan kaya dan miskin. Keadaan itu memberi kelebihan untuk
membentuk kekuatan umat Islam yang ampuh mendepani cabaran semasa.
Biarpun bersedekah hanya ibadat sunat
tetapi kepentingannya amat besar. Sesiapa yang mampu digalakkan melakukannya
dengan kerap, terutama apabila didatangi insan yang memerlukan
bantuan.
Sesungguhnya bersedekah adalah tanda
seseorang itu bersyukur dengan lebihan harta yang dimiliki melebihi keperluan
asas. Allah telah menjanjikan nikmat melimpah ruah kepada sesiapa
bersyukur dengan apa yang dimilikinya.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya
jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu
mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah
Ibrahim, ayat 7).
Allah menjadikan golongan kaya dan
miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan
sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah
al-Nahl, ayat 71).
No comments:
Post a Comment