Penegasan dalam al-Quran. Dalam al-Quran
terdapat ayat menyatakan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada
manusia mengenai sesuatu perkara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal,
ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad)
al-Quran supaya kamu menerangkan kepda umat manusia akan apa yang telah
diturukan kepada mereka."
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Apa
yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang
dilarangnya bagimu tinggalkanlah." (surah al-Hasyr, ayat 7).
Kedua-dua ayat itu menjelaskan tentang
keautoritian sunnah, perakuan yang dijelaskan dalam al-Quran tidak boleh
dipertikaikan.
Seperti sedia maklum, perintah atau hukum
dalam al-Quran tidak dijelaskan secara sepenuhnya, terutama dalam hal yang
memerlukan perlakuan sebagai syaratnya. Contohnya, dalam melaksanakan
arahan menunaikan sembahyang. Hukum yang dinyatakan dalam al-Quran hanya
menyebut mengenai perintah mengerjakan sembahyang, tidak lebih dari itu.
Justeru, tanpa penjelasan daripada Nabi
Muhammad bagaimana kita boleh melakukan sembahayang itu, dari pergerakan,
bacaan, tempoh masa dan sebagainya. Dengan kata lain, sesiapa yang
bersembahayang seperti mana apa yang dilakukan sekarang, sebenarnya telah
mengiktiraf sunnah sebagai sumber hukum.
Perhatikan pula ayat ke 3 surah al-Maidah
yang bermaksud: "Diharamkan ke atas kamu bangkai dan darah." Tanpa
penjelasan dari Nabi Muhammad, tentulah kita tidak dapat makan hidupan air dan
hidup kecil yang tidak dapat disembelih. Namun, kekeliruan itu dijelaskan
oleh Nabi Muhammad melalui hadith yang bermaksud: "Dihalalkan untuk kami
ikan dan belalang."
Dengan kata lain, tanpa adanya hadith,
sukar untuk melaksanakan apa yang tercatat dalam al-Quran. Cuba kita
bayangkan, bagaimanakah hendak memahami al-Quran jika tanpa bersandarkan kepada
hadis yang menjelaskan perkara-perkara itu.
Dakwaan golongan anti hadis bahawa al-Quran
telah lengkap, seperti mana firman Allah dalam surah al-Anam ayat 38 tidak
boleh dijadikan hujah untuk menolak hadis. Maksud ayat itu; "Dan kami tidak alpakan sesuatu pun di dalam
al-Kitab." Yang dimaksudkan tidak 'alpakan sesuatu pun' bermakna ajaran
Islam lengkap dalam segenap aspek kehidupan, tetapi tidak pula 'lengkap' dalam
menunjukkan secara praktikal. Pelaksanaan sesuatu ibadat mesti tepat dan
betul. Ia tidak boleh agak-agak. Justeru itu perlu kepada orang yang
diutuskan khusus, iaitu Nabi Muhammad untuk menunjukkan secara
praktikal.
Keistimewan peribadi Rasulullah. Nabi Muhammad
diutuskan oleh Allah untuk menyeru manusia mentauhid-Nya dan menunjukkan
panduan hidup yang sempurna.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21
bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu
contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan)
Allah dan (balasan baik) hari akhirat."
Nabi Muhammad tidak akan melakukan atau
berkata-kata melainkan itu adalah perkara yang mendatangkan kebaikan yang
diperinthkan oleh Allah. Baginda tidak ada kepentingan peribadi atau untuk
keluarga. Baginda bercakap perkara yang benar biarpun pahit untuk
diungkapkan.
Sifat mulia Rasulullah diamalkan sejak
kecil lagi hingga meningkat remaja dan seterusnya diangkat menjadi pesuruh-Nya
ketika usia menginjak 40 tahun. Di kalangan orang kafir Quraiys mengiktiraf
kejujuran Rasulullah dan digelar al-Amin. Mereka menerima semua kata-kata
atau ucapan Nabi Muhammad, kecuali berkaitan seruan agar meninggalkan agama
asal mereka.
Maka, sesiapa yang menolak sunnah, sikap
mereka tidak ubah seperti kafir Quraiys. Mana mungkin kita hanya memilih
al-Quran dan menolak sunnah, sedangkan jelas bahawa apa yang dilakukan oleh
Rasulullah adalah sepertimana yang diperintahkan oleh Allah.
Perintah Allah agar mentaati Rasulullah. Allah dengan
jelas mengarahkan agar manusia mentaati dan menuruti arahan Rasulullah. Arahan
ini terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Taati Allah
dan Rasul, jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
kafir." (Surah Ali Imran, ayat 32).
Perintah itu termasuk dalam segala hal,
kerana tidak ada penjelasan bahawa yang perlu taat dan patuh itu hanya dalam
soal-soal tertentu. Jika ada pengecualian dalam mentaati Nabi Muhammad,
maka sudah pasti ada ayat lain yang menjelaskan perkara itu.
Sesungguhnya akhlak Nabi Muhammad adalah
berpandukan al-Quran dan panduan secara langsung dari Allah. Jadi, tidak
mungkin Allah 'membenar' Nabi Muhammad melakukan sesuatu ikut sesuka hati
saja.
Bahkan dalam al-Quran dijelaskan teguran
langsung Allah terhadap Nabi Muhammad dalam perkara tertentu. Ini
membuktikan betapa Allah
membimbing Nabi Muhmmad secara langsung
dalam menentukan sesuatu perkara hukum.
Perjuangan golongan anti hadith hanya ingin
menggunakan al-Quran sebagai sumber hukum sebenarnya terang-terang menolak
'hukum' yang telah diarahkan oleh Allah agar mentaati Rasulullah. Mereka tidak
mentaati Nabi Muhammad, yakni tidak mahu menerima hadis, bermakna mereka tidak
mengikut al-Quran.
Penjelasan ijmak. Ijmak
bermaksud "persepakatan para ulama mujtahidin dari kalangan umat Islam
pada bila-bila masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW atas sesuatu hukum
syarak."
Para ulamak telah memutuskan perlunya
hadith dalam menentukan dan menjelaskan soal hukum agama. Hukum agama akan
'tergantung' tidak ada panduan untuk dilakukan jika tidak ada hadith yang
menjelaskan mengenainya.
Sudah ijmak umat Islam sepanjang zaman
merujuk kepada sunnah atas sifatnya sebagai sumber hukum syarak bersama
al-Quran. Ulama sepanjang zaman telah berpegang kepada kaedah
ini. Sedangkan gerakan anti hadith baru saja timbul. Dalam apa
jua kaedah, keputusan banyak itu betul berbanding yang
sedikit.
Berdasarkan lojik. Lojik akal tentu
dapat menerima hakikat bahawa sunnah diperlukan dalam menjelaskan
hukum. Cuba fikirkan, apa yang dapat dilakukan jika hanya berpandukan
kepada al-Quran semata-mata. Setiap perkara memerlukan kepada penjelasan
dan penambahan maklumat untuk membolehkan sesuatu difahami dan diamalkan.
Al-Quran tidak dapat berkata-kata atau
menjelaskan sendiri sebarang permasalahan yang dihadapi. Maka itu perlu
ada orang yang arif atau diberi kuasa untuk menjelaskannya. Maka, Nabi
Muhammad adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk melaksanakan
tugas itu.
Sebab itu, ayat-ayat al-Quran tidak lagi
diturunkan selepas kewafatan Nabi Muhmmad kerana satu-satunya insan yang layak
untuk menerima dan seterusnya menjelaskannya kepada manusia menganai sesuatu
ayat itu hanyalah Rasulullah.
Golongan anti hadis perlu menggunakan
kebijaksanaan akal lojik dan membuat keputusan berpandukan kepada kebenaran.Golongan
ini menunaikan sembahyang berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah,
bukan berpandukan al-Quran. Al-Quran hanya menjelaskan hukum menyuruh
menunaikan sembahyang.
No comments:
Post a Comment