Friday, 31 August 2018

SIFAT AMBIL TAHU HINDAR KES DERA


Kes penderaan yang berlaku dalam masyarakat adalah lambang runtuhnya nilai moral, kasih sayang dan hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri pelakunya. Pelaku tergamak menjadikan anak, rakan seasrama, pembantu rumah, malah ada yang sanggup melakukan terhadap ibu dan bapa sendiri sebagai mangsa dera. 

Manusia bertopengkan sifat binatang dan syaitan melakukan penderaan tanpa memikirkan kesan perbuatan itu terhadap mangsanya. Hal ini terjadi apabila mata kalbu (hati) telah buta daripada melihat nilai hidup sebagai manusia. 

Allah SWT menjelaskan tentang mata dan telinga kalbu yang memainkan peranan meletakkan seseorang kepada taraf insan dan membezakan seseorang daripada alam haiwan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Araf, ayat 79 bermaksud: “Mereka mempunyai kalbu tetapi tidak mengambil faham (berfikir) dengannya, mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat denganya dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya.  Mereka itu adalah seperti binatang ternakan, malah mereka itu lebih sesat.”

Mata dan telinga yang dimaksudkan ayat di atas bukanlah mata dan telinga jasmani, tetapi merujuk kepada mata dan telinga kalbu. Kalbu yang telah dirasuk perasaan kebinatangan tidak takut hukum Allah SWT dan jauh sama sekali undang-undang ciptaan manusia.

Allah SWT mencipta manusia yang berlainan jantina, paras rupa, kekayaan dan kebolehan dengan tujuan agar manusia dapat berhubungan dalam suasana harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai manusia!  Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Penerapan amalan beragama dan perasaan kasih sayang adalah cara paling berkesan untuk mengatasi masalah kepincangan sosial. Agama Islam mengajar manusia melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mendatangkan keburukan. 

Salah satu elemen penting dalam ajaran Islam ialah mewujudkan perasaan kasih sayang melibatkan sesama manusia, terhadap binatang, tumbuhan dan alam semesta. Kasih sayang adalah tali yang mengikat memperkuatkan hubungan agar tidak melakukan perbuatan mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

Islam amat tegas menentang sebentuk penderaan, bukan saja terhadap manusia, bahkan yang melibatkan haiwan. Dari Anas menjelaskan: “Rasulullah SAW melarang daripada mengurung binatang sampai mati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika penderaan terhadap binatang dilarang, tentulah lebih-lebih lagi terhadap manusia. Mereka yang melakukan penderaan telah hilang sifat semula jadi manusia dan layaklah mereka digelarkan sebagai binatang berwajah manusia.

Konsep kasih sayang jika dihayati dengan sepenuhnya, akan melahirkan masyarakat yang bebas daripada penderaan. Bahkan, perasaan kasih sayang akan menyebabkan seseorang sanggup berkorban dan melakukan sesuatu untuk mempertahankan orang dikasihi daripada perkara buruk.      

Orang yang mempunyai perasaan kasih sayang secara kolektifnya akan mewujudkan persekitaran hidup yang selamat untuk orang lain. Natijah daripada itu juga dirinya sendiri akan mendapat pengiktirafan keselamatan daripada orang lain. Sikap saling membantu untuk tujuan kebaikan dapat membina kehidupan sejahtera kepada seluruh ahli masyarakat.

Allah SWT menumbuhkan perasaan kasih sayang dalam hati setiap orang beriman sebagai benteng mencegah daripada melakukan perbuatan buruk. Kehidupan yang dibayangi dengan penderaan diumpamakan seperti berada di tepi jurang neraka. Banyak kesan buru k lain boleh timbul akibat kesan penderaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janglah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu dan janganlah bermusuh-musuhan.”  (Surah Ali-Imran, ayat 103).

Seluruh ahli masyarakat juga bertanggungjawab menyekat kes penderaan berterusan.  Sebarang kes penderaan yang diketahui perlu dihalang segera sama ada dengan kemampuan sendiri menghalangnya atau dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya. Sifat tidak memperdulikan hal persekitaran dan mementingkan diri sendiri membawa kepada diri ditulikan dan dibutakan kalbunya oleh Allah SWT. 

Sikap cakna dan ambil berat apa yang berlaku dalam masyarakat bukan bermakna mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang lain. Niat melakukan kebaikan perlu diteruskan biarpun dianggap serong oleh pihak lain. Asalkan kita ikhlas dan melakukan sesuatu yang benar, pasti kebaikan akan terserlah.

Tindakan tegas seperti denda dan penjara terhadap pelaku penderaan diharapkan dapat menyedar orang lain agar tidak terlibat sama melakukan perbuatan keji itu. 

Menurut Seksyen 31(1) (a) Akta kanak-kanak 2001 yang mengenakan denda sehingga RM 20,000 atau penjara 10 tahun dan sebatan dalam kes dera. Sekiranya menyebabkan kematian kes akan dirujuk berdasarkan kes bunuh 302 Kanun Keseksaan, hukuman gantung sampai mati akn dilaksanakan. Jika bunuh tanpa sengaja, kes akan dirujuk berdasarkan Seksyen 304, Kanun Keseksaan dan hukuman penjara maksimum 20 tahun akan dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment