Islam mementingkan adab
kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial dan
keselamatan dalam kehidupan harian. Aspek ini penting bagi mengelak membawa
terjadinya perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat dalam masyarakat.
Kemantapan dan keutuhan hubungan
kejiranan bergantung kepada ketinggian budi pekerti, semangat kekitaan dan
saling menghormati yang diamalkan. Amalan itu mewujudkan suasana kehidupan
kejiranan selesa, selamat dan muhibah.
Tuntutan supaya berbuat
baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan
orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.”
(Surah an-Nisa, ayat 36)
Islam bererti damai
dalam segala bentuk kehidupan. Individu muslim mesti menterjemahkan kedamaian
itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu
lain secara fizikal, mental ataupun emosi.
Islam menitikberatkan
hubungan kejiranan kerana ia satu keperluan. Hidup kita tidak terlepas daripada
mempunyai jiran. Hubungan baik dengan jiran dapat mewujudkan kehidupan setempat
yang aman dan harmoni.
Jiran yang perlu
dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam sahaja. Wajib menghormati
dan menjaga hak-hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan kepercayaan dan
amalan agama mereka. Perkara ini amat penting diamalkan di negara ini yang
mempunyai penduduk berbilang kaum, adat dan agama anutan.
Sikap toleransi terhadap
jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahgaian daripada dakwah. Amalan itu
memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan balas
daripada penganut agama lain jika hak mereka diganggu.
Rasulullah SAW amat
mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan perkara yang sama kepada para
sahabat. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda
bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga
sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya
(pusaka).” (Hadis riwayat Bukhari)
Jiran tinggal paling
hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui
jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa
musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian sementara menunggu bantuan pihak
berwajib atau sanak saudara.
Kita wajib menghulur
bantuan kepada jiran mengikut kemampuan, lebih-lebih lagi dalam soal kecemasan
yang melibatkan keselamatan nyawa.
Firman Allah yang
bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan
ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Maidah, ayat 2)
Fenomena yang berlaku
dalam kejiranan sekarang banyak buruknya. Pertama, kita hilang nikmat hubungan
kejiranan. Kita akan merasakan seperti hidup di dalam penjara di rumah sendiri.
Gaya hidup ini mengapa berlakunya tekanan dalam hidup. Keluarga dan jiran-jiran
tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan dengan suasana
lebih luas.
Kurangnya interaksi
dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jatidiri,
budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan
kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak-anak di mana mereka
tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Kita perlu kepada fitrah
manusia yang perlu wujud hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya
membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai
jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.
Untuk menjaga hubungan
baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap
berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran,
bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang
renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang. Manakala itu, sikap negatif
seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan.
Peraturan berjiran ini
memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit yang
biasa timbul dalam masyarakat. Tidak akan berlaku perkara buruk jika peraturan
ditetapkan agama dipatuhi.
Menjaga hubungan
kejiranan dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika
tidak menghormati dan kasih jirannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak
sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya,
sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kehidupan manusia kini mencapai
tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia tergelincir
daripada hakikat kehidupan sebenar. Punca kerosakan dalam kehidupan ini
disebabkan sikap individualistik yang sebati dalam diri manusia. Kongkongan
sifat ini menyebabkan manusia menjadi sombong, bongkak dan angkuh sehingga
terpaku kukuh sifat ego dalam diri.
Sifat
ini juga menyebabkan generasi dewasa ini mencemari budaya murni yang diamalkan
sejak turun temurun antaranya budaya hidup berjiran. Menjadi tanggungjawab kita
memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.
Hubungan
intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan
meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Penghidupan
berjiran dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment