Friday, 31 August 2018

FLEKSIBILITI HUKUM BERI MANFAAT


Kita sering mendengar masyarakat Islam mendakwa merekalah umat terbaik dan agama Islam sentiasa relevan dengan setiap masa dan budaya. Namun, jarang pula kita mendengar perbincangan tentang bagaimanakah proses yang menjadikan syariah Islam itu sesuai untuk semua umat manusia yang pelbagai bangsa, budaya dan tahap perkembangan teknologi.

Dakwaan bersifat simplistik sebegini walaupun tepat, jika tidak disusuli oleh langkah-langkah perbahasan yang realistik, boleh memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap Islam. Syariah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak pernah berubah sejak termaktub di dalam al-Quran hingga hari kiamat.

Dengan sifat statik tersebut, bolehkah syariah Islam diamalkan oleh manusia yang sentiasa berubah budayanya? Bahkan, bolehkah syariah Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunah Rasulullah yang satu itu, mengatasi permasalahan umat yang pelbagai budaya, bangsa, bahasa dan adat resamnya?

Menurut Ibnu Khaldun (meninggal 1405 Masihi) dalam buku Muqaddimah, manusia itu dijadikan berbeza dari segi bahasanya, adatnya dan budayanya. Setiap kaum mempunyai sifat-sifat tersendiri, adat setempat dan sudut pandangan semesta yang tersendiri.

Bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: ``Dan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan berbezanya bahasa-bahasa kamu dan warna kulit kamu, sesungguhnya yang demikian itu mempunyai tanda-tanda bagi mereka yang mempunyai pengetahuan.'' (Surah Ar-Rum, ayat 12)

Perbezaan ini cukup jelas hari ini dengan tersebarnya banyak bentuk ideologi dan aliran pemikiran. Bahkan di dalam Islam sendiri, terdapat pelbagai jenis mazhab. Dalam mazhab perundangan sahaja, kita boleh melihat bagaimana perbezaan antara Mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Wujudnya perbezaan ini bukan alasan untuk kita berpecah belah tetapi itulah lambang kebesaran Allah yang menghendaki kita bersatu melalui perbezaan tersebut.

Ini kerana adalah mustahil Allah mencipta manusia yang berbeza budayanya tetapi memberikan satu cara hidup yang hanya sesuai untuk satu-satu budaya sahaja. Bagaimana Islam boleh sesuai dengan keadaan budaya yang pelbagai? Inilah rahsia Islam, akarnya ia tetap statik dan kukuh pada tunjangnya, tapi rantingnya yang lembut begitu fleksibel untuk menyelinap ke setiap ruang dan keadaan. Dengan kata lain, perundangan Islam bersifat dengan tetap (thabit) pada prinsipnya dan bersifat fleksibel (al-murunah) pada peringkat cabang pelaksanaannya.

Dr. Yusuf al-Qardhawi, pernah menulis sebuah buku kecil yang ringkas tetapi begitu bermanfaat bertajuk Awamil al-Si`ah wa al-Murunah fi al-Islam yang menjelaskan tentang fleksibiliti Islam yang membolehkan Islam dipraktikkan oleh semua golongan dan budaya di dunia ini. Ciri fleksibiliti Islam yang pertama menurut beliau ialah wujudnya banyak ruang, yang tidak dinyatakan hukumnya oleh Allah dan sengaja ditinggalkan kepada manusia.

Dalam perundangan Islam, mana-mana yang menjadi keperluan manusia pada pandangan Allah, akan diletakkan hukum wajib atau sunat, mana yang buruk pada pandangan Allah untuk manusia, akan diletakkan hukum haram atau makruh, dan mana-mana yang tidak dinyatakan itu adalah harus, boleh dilakukan tanpa melampaui batas. Betapa banyaknya kes-kes yang sengaja ditinggalkan oleh Allah sebagai memberi ruang kepada perbezaan manusia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ``Apa-apa yang disuruh, maka kerjakanlah, apa-apa yang dilarang, maka jauhilah, dan apa-apa yang tidak disebut itu, sengaja ditinggalkan tanpa lupa, sebagai rahmat untuk kamu sekalian, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mempertikaikannya.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim). Implikasinya ialah, kita boleh melakukan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ada di dalam al-Quran dan sunah.

Semua hukum di dalam Islam ditetapkan oleh Allah, bukan oleh manusia. Walaupun begitu, hukum yang dinyatakan oleh Allah melalui perantaraan al-Quran atau sunah daripada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan oleh manusia menggunakan ketajaman akal mereka dan kaedah-kaedah yang tertentu.

Di dalam teks al-Quran dan sunah, tidak semua hukum datang dalam bahasa yang jelas. Hukum-hukum yang sudah jelas pengertiannya biasanya melibatkan hukum-hukum asas ibadah, akhlak dan budi pekerti, hukum harta pewarisan, hukum akidah yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah dan alam ghaib, serta kisah-kisah sejarah umat terdahulu. Manakala terdapat juga ayat-ayat yang tidak jelas pengertiannya, sama ada kerana perkataan yang digunakan boleh memberikan pelbagai maksud, atau terlalu luas untuk dipraktikkan dalam sesuatu kes.

Di sinilah peranan para ulama mujtahid untuk mengkaji dan menggunakan ketajaman akalnya. Bahkan di sinilah juga hukum-hukum Islam akan diterjemahkan secara berbeza berasaskan kepada budaya setempat yang mencorak pemikiran para ulama mujtahid itu.

Di antara faktor lain yang menjadikan Islam sebagai undang-undang fleksibel juga ialah kerana Islam tidak menghadkan sumber perundangannya hanya kepada al-Quran dan sunah sahaja tetapi undang-undang Islam boleh mengambil kira sumber lain untuk disesuaikan dengan situasi semasa.

Para sarjana perundangan Islam telah mengemukakan beberapa sumber lain yang bersifat semasa dan setempat selain daripada al-Quran dan sunah, di antaranya seperti al-istihsan (kaedah pengecualian hukum dalam kes-kes tertentu), al-istislah (kemaslahatan masyarakat) dan al-urf (budaya setempat).

No comments:

Post a Comment