Urusan perniagaan
amat penting dalam kehidupan seharian manusia. Peniaga dan pengguna adalah dua
pihak yang saling berurusan. Kedua-dua golongan ini menyumbang peranan besar
dalam menjayakan sesuatu matlamat yang ditetapkan oleh negara.
Keadaan ekonomi,
kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan negara banyak bergantung kepada peranan
yang dimainkan oleh peniaga dan
pengguna.
Urusan perniagaan
wujud sejak zaman masyarakat kuno melalui sistem perniagaan bertukar barang. Keperluan
menentukan satu nilai barangan untuk urusniaga tanpa pertukaran barang telah
melahirkan sistem mata wang seperti wujud sekarang.
Kepentingan urusniaga
semakin meningkat dalam era kehidupan sekarang.
Semua barang dan perkhidmatan memerlukan urusniaga untuk diperoleh. Sekarang
ini sukar hendak ditemui barang dan perkhidmatan disediakan secara
percuma.
Islam tidak terlepas
menetapkan peraturan berkaitan perniagaan dan kepenggunaan yang penting ini. Soal
perniagaan dan kepenggunaan ditekankan bagi menyedarkan orang ramai tentang
sumbangan mereka kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Perihal pengguna
berhemah, ialah bijak berbelanja mengikut keperluan, kemampuan dan memahami hak
mereka sebagai pengguna. Pengguna berhemah berbelanja tidak boros. Mereka bijak
menguruskan perbelanjaan dan tidak terjebak dengan hutang.
Islam memberi penekanan
agar setiap Muslim tidak melakukan pembaziran membelanjakan harta. Sifat
membazir adalah amalan syaitan yang perlu dijauhkan. Banyak keburukan berpunca
sifat membazir yang membawa kemurkaan Allah.
Firman Allah
bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak
berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut
keperluan).” (Surah al-Furqan, ayat 67).
Pengguna berhemah
berbelanja mengikut apa yang diperlukan saja. Mereka tidak mudah terpedaya
dengan tawaran potongan harga atau harga murah. Biarpun harga murah, tetapi
jika ia tidak diperlukan, tidak ada untung membelinya.
Banyak individu yang
tidak dapat mengawal nafsu terdorong membeli apa yang tidak diperlukan
disebabkan merasakan tawaran harga yang dianggap rugi jika tidak
membelinya.
Sebagai pengguna
berhemah seseorang itu tidak terpengaruh dengan apa dibeli orang lain. Setiap
orang ada wang dan keperluan yang berbeza. Membeli atau membayar pekhidmatan
yang tidak digunakan adalah satu kerugian besar.
Akibat tidak mampu
menguruskan kewangan diri, banyak pengguna terjebak meminjam dengan ceti haram
atau along. Kemelut kewangan yang dihadapi menjadi semakin serius apabila tidak
mampu menjelaskan pinjaman itu.
Pengguna juga perlu
mengetahui hak sebagai pengguna. Perniagaan global hari ini bersifat lebih
kompleks. Pengguna perlu mengetahui hak mereka agar tidak tertipu dengan pihak
tidak bertanggungjawab.
Banyak pengguna
menjadi mangsa disebabkan kejahilan mengenai undang-undang dan hak sebagai
pengguna. Mereka terperangkap dengan taktik halus peniaga mengaut keuntungan
secara tidak dibenarkan agama dan undang-undang.
Kerjasama peniaga
amat penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih daripada
penipuan. Peniaga perlu mengamalkan etika perniagaan yang betul yang
berdasarkan kepada hubungan sesama manusia yang terikat dengan ketetapan
hukum.
Hukum Islam tidak
membenarkan sebarang bentuk penipuan dan penindasan dalam urusan perniagaan. Perniagaan
yang wujud unsur penipuan dan penindasan samalah seperti perbuatan merompak
atau mendapatkan sesuatu secara tidak hak.
Keberkatan urusan
perniagaan bergantung kepada cara mana ia dijalankan. Berniaga amalan dipandang
mulia dan menguntungkan. Rasulullah menggalakkan agar umatnya berniaga sebagai
sebahagian daripada hubungan muamalat sesama manusia.
Etika utama perlu
diamalkan setiap peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Peniaga mengamalkan
perniagaan secara beretika mendapat keuntungan berkali ganda di dunia dan di
akhirat. Peniaga beretika lebih disukai pelanggan dan mendapat keuntungan
lumayan hasil usaha perniagaannya.
Pelanggan tentunya
tidak mahu menanggung kerugian akibat perbuatan peniaga yang tidak
bertanggungjawab. Sekiranya diketahui dirinya telah tertipu, pelanggan tidak
lagi berurusan dengan peniaga yang sama.
Sekiranya banyak
pelanggan menyedari perkara tersebut, lama kelamaan peniaga berkenaan tidak
mempunyai pelanggan lagi.
Sebab itu amat
penting bagi setiap peniaga mengutamakan kepentingan pelanggan. Persekitaran
perniagaan yang baik mewujudkan pelanggan atau pengguna setia. Ini tentu
memberi kelebihan kepada peniaga, terutama dalam sektor perniagaan yang
mempunyai banyak saingan.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Peniaga jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan
mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tarmizi).
Kedudukan tersebut
membuktikan betapa perlunya peniaga bersifat jujur dalam urusan perniagaan yang
dijalankan.
Sebaliknya, peniaga
melakukan penipuan dijanjikan kerugian. Keuntungan yang diperoleh hanyalah satu
ilusi. Kehidupan hasil tidak halal tidak membawa berkat. Sebab itu banyak
individu biarpun mampu menimbunkan kekayaan, tetapi kehidupan yang dinikmati
semakin tertekan dengan masalah yang tidak diduga.
Firman Allah
bermaksud: “Celakalah orang menipu dalam perniagaan. Apabila mereka mereka memesan barang, mahu
mendapatkan barang bermutu dan sempurna. Akan tetapi apabila mereka menjual
kepada orang lain, maka mereka akan mengurangkan mutunya.” (Surah
al-Mutaffifin, ayat 1 hingga 3).
Allah menguji peniaga
tidak jujur dengan dikurniakan keuntungan, tetapi tanpa diduga kekayaan itu
boleh lenyap disebab mengalami kerugian besar kemudiannya. Empayar perniagaan
yang dibina beberapa tahun boleh runtuh hanya dalam masa yang singkat.
Masalah ekonomi
adalah sebahagian daripada ujian daripada Allah. Kita dapat lihat berapa banyak
peniaga jatuh bankrap ketika tempoh kejatuhan ekonomi negara.
Firman Allah dalam
surah al-Baqarah, ayat 16 bermaksud: “Mereka itulah membeli kesesatan dengan
petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat
petunjuk.”
Bagi memastikan
urusan perniagaan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak peniaga dan
pengguna, ia mestilah dijalankan dalam penuh ketakwaan dan saling
memerlukan.
Peniaga memerlukan
sokongan pengguna untuk membeli apa ditawarkan di pasaran. Manakala pengguna
pula memerlukan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh peniaga.
Sesungguhnya
peniagaan hendaklah dilakukan dalam konteks saling mempercayai dan reda di
antara peniaga dan pengguna. Itulah keberkatan dan kelebihan perniagaan yang
mengikut tuntutan syariat.
Firman Allah
bermaksud: “Jangan kamu makan hasil pendapatan perniagaan yang dilakukan secara
salah, kecuali ia dilakukan dengan keredaan pihak-pihak yang kamu
terlibat.” (Surah an-Nisa, ayat 29).
Hakikatnya,
kemakmuran dan kejayaan dicapai negara pada hari ini banyak disumbangkan hasil
pengguna yang berhemah dan peniaga beretika. Negara mencapai kemakmuran jika
urusan perekonomian berjalan dengan lancar dan dalam jumlah yang banyak. Semua
pihak dapat menikmati kehidupan selesa dalam iklim ekonomi yang berkembang.
No comments:
Post a Comment