Kedudukan umat Islam di seluruh
dunia agak lemah. Keadaan ini menyebabkan suara umat Islam tidak diendahkan. Nasib
umat Islam di seluruh dunia diwarnai dengan kedukaan, penindasan, kemiskinan,
perpecahan sesama sendiri dan dijajah.
Senjata utama masyarakat globalisasi
ialah kekuatan ekonomi. Mana-mana negara tiada kekuatan ekonomi mudah dijajah
secara kuasa ekonomi dan politik negara maju.
Kelemahan ekonomi bermakna kelemahan
hampir dalam kesemua aspek kehidupan. Keupayaan manusia moden bergantung kepada
kekuatan ekonomi. Untuk menyediakan kemudahan pendidikan memerlukan peruntukan
yang besar. Tanpa kemudahan pendidikan, rakyat akan terus ketinggalan dan
segenap segi.
Peruntukan lebih besar lagi
diperlukan jika ingin mengadakan angkatan tentera yang memiliki peralatan
canggih. Tidak kurang juga banyaknya wang diperlukan untuk menyediakan
kemudahan infrastruktur untuk keselesaan hidup rakyat.
Inilah masalah utama yang
membelenggu umat Islam seluruh dunia. Sekiranya negara Islam tidak mampu
menyediakan kemudahan untuk rakyatnya, maka kualiti hidup rakyat berada pada
paras rendah.
Hal ini sekaligus tidak mampu untuk
menjana ekonomi peringkat individu dan keluarga. Keluarga miskin terdedah kepada konflik rumah
tangga dan terjebak aktiviti bermoral rendah seperti pelacuran, mencuri dan
rasuah. Kemiskinan menghampirkan seeorang kepada kekufuran.
Kemelut inilah punca umat Islam
ketinggalan dalam perlumbaan dengan penganut agama lain. Umat Islam mempunyai
banyak sumber tenaga buruh. Jumlah umat
Islam di seluruh dunia mencecah lebih 1.5 bilion orang.
Umat Islam berada hampir di seluruh
dunia. Pertambahan penduduk Islam di negara bukan Islam semakin bertambah. Kadar
pertambahan umat Islam lebih tinggi berbanding penganut agama lain.
Sekiranya seluruh tenaga umat Islam
digembelingkan membina kekuatan ummah, sudah pasti maruah umat Islam tidak
tercemar seperti sekarang. Kegagalan terletak di tangan umat Islam sendiri yang
tidak mampu menterjemahkan ajaran Islam yang suci.
Disebabkan tidak memiliki kekuatan
ekonomi dan ketenteraan, umat Islam sekadar mampu merintih dan berdoa melihat
saudara seagama menjadi mangsa kekejaman. Nasib umat Islam di Palestin dan di
negara minoriti umat Islam amat menyedihkan.
Justeru, untuk bangkit menjadi agama
menarik pada pandangan penganut agama lain, umat Islam perlu mempertingkatkan
kuasa ekonomi. Hal ini dapat dicapai sekiranya umat Islam menguasai ilmu
pengetahuan.
Sejarah kegemilangan Islam di kota
Baghdad berpunca ledakan ilmu yang menjadi keutamaan umat Islam ketika itu. Banyak
ahli ilmuan ketika itu yang melahirkan karya agung sehingga masih dijadikan
rujukan dalam bidang masing-masing sehingga sekarang.
Hakikat inilah mengapa kerajaan
negara kita begitu bersungguh-sungguh ingin
membangunkan institusi pendidikan bertaraf dunia di negara kita. Lebih
banyak pusat pengajian tinggi awam dan swasta didirikan di negara kita.
Pusat pengajian tinggi dari luar
negara juga dipelawa menubuhkan cawangannya di negara kita. Pendidikan
disedikan di negara kita turut terbuka kepada umat Islam dan bukan Islam
daripada luar negara.
Individu Muslim perlu sentiasa
memikirkan apakah sumbangan yang mampu mereka berikan untuk kemajuan ummah. Tugas
manusia sebagai khalifah di muka bumi ini tidak sekadar melakukan ibadat khusus
seperti sembahyang, puasa dan haji saja.
Kuasa yang dipegang oleh bukan Islam
lebih banyak mendatangkan keburukan. Sikap tamak dan ingin berkuasa penuh dalam
urusan yang bukan menjadi tugas mereka menjadikan orang bukan Islam tidak memperdulikan
batasan kemanusiaan.
Umat Islam mempunyai tanggungjawab
yang besar dalam usaha memakmurkan alam ini. Ini hanya menjadi realiti jika
umat Islam bangkit memperbaiki kedudukan sekarang. Kekuatan ketakwaan,
ilmu dan perpaduan adalah senjata untuk mencapainya.
No comments:
Post a Comment