Tuesday 16 October 2018

AHLI PARLIMEN WAJIB HADIR


Satu tugas utama ahli parlimen ialah hadir di sidang parlimen. Mereka bertanggungjawab membawa isu rakyat dan membincangkan di Dewan Rakyat. Tugas mereka juga membahaskan sesuatu rang undang-undang sebelum dibuat undi sama ada menarima atau menolak sesuatu rang undang-undang.

Malang sekali amat mendukacitakan sikap ahli parlimen yang suka ponteng sidang Dewan Rakyat. Mengapa mereka berebut kerusi dan sanggup melakukan apa sahaja demi dipilih sebagai ahli parlimen, namun apabila dipilih, kerusi mereka di parlimen dibiarkan kosong.

Apa erti ada ahli parlimen sedangkan kerusi mereka di parlimen semasa sidang berlangsung dibiarkan kosong. Mereka tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh pengundi kepada mereka.

Sepatutnya ahli parlimen perlu didisplinkan diri dan dihukum jika gagal untuk hadir tanpa alasan munasabah ke sidang Dewan Rakyat seperti yang dijadualkan.

Tindakan itu penting bagi memastikan jumlah kehadiran mereka ke Dewan Rakyat sentiasa mencukupi korum dan menjamin kelancaran perjalanan dewan.


Perkara ini perlu dijaga kerana parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan di mana undang-undang digubal selain menjadi forum perbincangan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Kegagalan ahli parlimen hadir ke sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah bermakna suara rakyat tidak dapat dibawa ke peringkat yang tertinggi.

Kegagalan itu juga bermakna ahli parlimen berkenaan gagal untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Tugas wakil rakyat ialah mewakili suara rakyat di parlimen. Jika mereka ponteng, ini bermakna mereka tidak berdisplin dan gagal menjalankan tugas yang diamanahkan.

Untuk mengelakkan sikap ini berterusan, satu mekanisme kawalan perlu diadakan supaya sidang berjalan lancar. Amat malang apabila berlaku penangguhan seketika sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya dimulakan atau disambung semula selepas waktu rehat kerana tidak cukup korum.

Masalah ketidakhadiran wakil rakyat yang semakin ketara itu juga mungkin disebabkan kurangnya pemahamanan sebahagian besar daripada mereka mengenai fungsi, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ahli parlimen.

Kebanyakan ahli parlimen hanya hadir ketika perbahasan unsur tertentu dan mula menunjuk lagak dengan berbahas tanpa berhemah. Ketika itulah mereka ingin menunjuk diri sebagai jaguh.

Di negara-negara maju seperti Britain, wakil-wakil rakyat amat mementingkan kehadiran mereka di persidangan parlimen.

Rumusan mudah, usah jadi ahli parlimen dan letak jawatan jika tidak berminat berada di kerusi di dalam parlimen semasa sidang Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment