Wednesday 17 October 2018

NAMA SEBENAR GERTAK IBRAHIM ALI TENDONG

Jambatan atau dalam dialek Kelantan dipanggil gertok atau gertak. Dalam Kamus Dewan ejaannya ialah gertak yang merujuk kepada dialek Kelantan dan Terengganu yang bermaksud jambatan pendek.

Sungai Kelantan yang merupakan sungai terpanjang di negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu membelah dua kawasan timur dan barat.  

Beberapa jambatan atau gertok dibina untuk menghubungkan kawasan yang terpisah itu. Jambatan yang pertama dibina adalah Jambatan Sultan Yahya Petra menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Pekan, Tumpat. 
 
Jambatan Kedua ialah Jambatan Pasir Mas Salor. Manakala jambatan ketiga ialah Jambatan Sultan Ismail Petra yang menghubungkan Pendek di barat dengan Tendong di timur.

Ketiga-tiga jambatan itu memang memberi banyak manfaat kepada penduduk Kelantan. Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Pasir Mas Salor rata-rata dikenali dan sering disebut oleh rakyat Kelantan.

Namun, jika ditanya kepada kebanyakan rakyat Kelantan, termasuk yang sering menggunakan Jambatan Sultan Ismail Petra, ramai tidak mengetahui mengenai kewujudan nama jambatan itu.

Ini kerana Jambatan Sultan Ismail Petra lebih dikenali dengan nama Gertok Ibrahim Ali di kalangan penduduk Kelantan, terutama penduduk Pasir Mas. 
 
Nama Ibrahim Ali digunakan sebagai pengiktiran penduduk kepada jasa Ibrahim Ali yang dikatakan mempunyai peranan langsung dalam merealisasikan pembinaan jambatan itu.

Jambatan berharga RM166.3 juta sepanjang 960 meter merintangi Sungai Kelantan itu dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada 15 September 2003. 

No comments:

Post a Comment