Monday 14 January 2019

LIMAU MANDARIN DAN TAHUN BAHARU CINA

Limau mandarin sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Ia menjadi hidangan dan juga ampau kepada para tetamu. Boleh dianggap tidak 'sah' sambutan Tahun Baharu Cina tanpa limau mandarin. Kaum lain, terutama orang Melayu pula mengambil peluang membeli limau mandarin kerana menganggap itulah peluang membeli dengan harga lebih murah.

Sebab itu, pengimportan limau mandarin pada musim Perayaan Tahun Baharu Cina dari China dibuat secara besar-besar untuk mematuhi permintaan yang tinggi itu. Selain itu, ada juga pengimportan limau mandarin dari beberapa negara pengeluar lain, namun dalam kuantiti yang kecil. 

Limau mandarin sebenarnya ada ditanam di Malaysia, namun jumlah pengeluarannya agak terhad. Pada musim biasa pun tidak mampu memenuhi permintaan tempatan, inikan pula permintaan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Negara China pengeluar utama limau mandarin kira-kira separuh daripada pengeluaran dunia. Bilakah musim menunai atau memetik buah limau mandarin di China?

Limau untuk dieksport telah dipetik berbulan-bulan sebelum dipasar. Jadi, ada cara untuk memetik limau untuk dieksport. Biasanya ia dipilih yang belum matang sepenuhnya untuk mengelak cepat rosak. Sebab itu, jika kita membeli limau mandarin yang berkualiti rendah, ia sukar dikopek dan isinya dalam keadaan rapat serta sukar dipisahkan. Isinya kurang bersari dan rasa kadang-kadang masam.

Selain itu, satu cara untuk mengelak limau mandarin cepat rosak ialah menggunakan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 memang membenarkan penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet, termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin, tetapi pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.

Sulfur dioksida sudah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan.

Setiap bungkusan makanan untuk jualan termasuk limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10mg/kg, mesti dilabel dengan pernyataan "mengandungi sulfur dioksida.

Ini termaktub di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan jika ingkar boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.

Sesiapa membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Untuk menikmati limau mandarin lebih berkualiti dan sedap, sepatutnya dibeli pada masa luar musim perayaan Tahun Baru Cina. Ia lebih segar dan banyak pilihan dari pelbagai negara. Tidak perlu berebut membeli dengan kaum Cina yang memerlukan untuk tujuan perayaan. 
 
Kalau hendak makan limau mandarin pada Tahun Baharu Cina, tunggu sahaja yang diberikan oleh orang Cina. Kalau hendak beli boleh tunggu pada masa lain. 

No comments:

Post a Comment