Bagi saya 6 Januari 2019 adalah suatu hari yang sangat
penting bagi sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Ia menunjukkan
kematangannya. Jika YDPA, atas sebab-sebab yang diketahui olehnya, berpendapat
bahawa baginda tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik sebagai seorang YDPA,
atau jika baginda tidak sukakan pekerjaan itu atau baginda tidak sukakan orang
yang baginda perlu bekerja dengannya atau atas alasan apa pun, tindakan yang baik
untuk dilakukannya ialah meletakkan jawatan.
Kita tahu bahawa beberapa hari sebelum tarikh itu, Raja-Raja
mengadakan mesyuarat tidak berjadual. Kita tidak tahu sama ada mereka
membincang berkenan YDPA Ke-15 atau kedudukannya, apa keputusan yang dibuat,
jika ada dan sama ada ia telah disampaikan kepada baginda. Jika jawapan kepada
semua soalan-soalan ini adalah afirmatif yang mengakibatkan peletakan jawatan
itu, itu adalah cara yang sangat terhormat dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Malah
Dato' Seri Najib, katakanlah apa yang anda suka mengenainya, menyerahkan
kerajaan kepada Pakatan Harapan dengan cara yang terhormat apabila partinya kalah
dalam GE 14.
Bandingkan
dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak selepas GE 13 yang berpaut di meja Speaker apabila pengawal-pengawal
dewan cuba mengeluarkannya dengan paksa apabila beliau enggan mengosongkan
kerusinya, selepas kerajaannya kehilangan majoriti dalam dewan itu. Jika beliau
berpendapat bahawa kerajaannya masih mempunyai majoriti dan/atau beliau fikir beliau
lebih kuat daripada pengawal-pengawal itu sekali pun, beliau sepatutnya bangun
dan berjalan keluar dengan cara yang bermaruah kerana, bukanlah martabatnya, sebagai seorang Speaker, yang
berpakaian lengkap, untuk bergelut dengan pengawal-pengawal itu, apatah lagi,
apabila akhirnya, beliau di angkat
keluar dari dewan itu. Beliau sepatutnya mencari remedi lain.
Saya telah
menyatakan pendapat saya bahawa adalah satu kesilapan bagi YDPA memberitahu
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan
Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menerima
kunjungan Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang masih menjalani hukuman pemenjaraannya
dan memberitahu bahawa beliau akan
diampunkan, juga sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan. Lebih buruk lagi
apabila YDPA memberitahu Dato' Seri Anwar bahawa beliau diampunkan kerana
ketidakadilan yang dilakukan kepadanya. Itu demoralise mahkamah, Pendakwa Raya
dan polis kerana ia seolah-oleh menyatakan bahawa mereka kelihatan seperti alat
kerajaan sebelumnya. (Lihat Pengampunan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Keadilan
Kepada Saiful (14 05 2018)).
Suatu
perkara lagi yang kita baca dalam media yang dilakukan semasa pemerintahan
baginda ialah YDPA selalu mengadakan majlis-majlis angkat sumpah di luar waktu
pejabat. Majlis mengangkat sumpah pelantikan kontroversi Tun Md Rauf sebagai
Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai Presiden
Mahkamah Rayuan untuk tempoh lanjutan itu dilakukan pada waktu malam. Begitu juga
majlis angkat sumpah Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara. Ini
adalah fungsi rasmi YDPA yang serius. Ia patut dilakukan di waktu pejabat.
Majlis
mengangkat sumpah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri wajar diberi
perhatian khusus. Kita membaca bahawa sebaik sahaja pengumuman keputusan
pilihan raya menunjukkan bahawa PH telah mendapat majoriti, pada malam itu juga,
Tun Dr. Mahathir pergi ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana
Menteri kerana takut kiranya akan berlaku lompatan parti oleh Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu yang akan menyebabkan
PH kehilangan majoriti.
Bagi saya,
adalah memalukan bagi seorang bakal Perdana
Menteri untuk pergi tanpa diundang, pada
waktu malam, mungkin untuk mengejutkan YDPA jika baginda sedang beradu, untuk mengangkat
sumpah beliau sebagai Perdana Menteri.
Kedua,
YDPA tidak sepatutnya nampak seperti menjalankan tugasnya di bawah tekanan.
YDPA berhak memuaskan dirinya siapa, menurut pendapatnya, mempunyai sokongan
majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu. Jika Ahli-Ahli Parlimen yang
baru dipilih hendak menyeberang dan menyeberang balik malam itu, biarkan mereka
berbuat demikian. Sekurang-kurangnya, YDPA sepatutnya berpeluang untuk
memuaskan diri baginda siapa yang mempunyai sokongan majoriti, pada siang hari keesokan
harinya.
Upacara
mengangkat sumpah Perdana Menteri adalah upacara mengangkat sumpah yang paling
penting yang dilakukan oleh YDPA. Ia perlu dilakukan di majlis yang sesuai,
dihadiri oleh para VIP termasuk, saya cadangkan, mantan Perdana Menteri terakhir,
dan disiar secara langsung oleh televisyen. Ia akan membuktikan bahawa demokrasi
berjalan dengan baik di Malaysia. Ia juga menunjukkan kematangan ahli-ahli
politik di Malaysia..
Saya harap
di masa hadapan YDPA tidak akan tunduk kepada tekanan. Biarkan calon Perdana
Menteri piket di luar Istana Negara sepanjang malam jika beliau mahu!
Adalah juga diharapkan, tidak lama lagi Raja-Raja akan
memilih YDPA baru yang memahami sistem raja berperlembagaan, federalisme,
kedaulatan undang-undang, memahami dan menghormati Perlembagaan dan
mematuhinya.
Zaman kuasa mutlak Kesultanan Melaka sudah berlalu.
Raja berperlembagaan mesti sedar bahawa kuasanya datang dari Perlembagaan.
Perlembagaanlah yang memberi dan menghadkannya. Perlembagaanlah yang menentukan
bagaimana kuasa-kuasa itu dilaksanakan.
Ada kuasa yang boleh dilaksanakan mengikut budi bicara,
manakala yang lainnya kena dilaksanakan
atas nasihat Perdana Menteri. Perkataan "atas nasihat" mempunyai
makna yang berbeza daripada perkataan nasihat yang digunakan dalam perbualan
harian. Ia bermakna anda perlu mengikutinya, sama seperti Raja-Raja Melayu mesti
mengikut "nasihat" Resident Inggeris sebelum Merdeka.
Saya minta maaf kiranya saya membuat bunyinya tidak
sedap didengar. Tetapi, itulah realitinya. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa.
Katalah itu cara orang Inggeris berbuat sesuatu. Setelah berjuang begitu lama menuntut
daripada raja-raja mereka yang berakhir dengan raja berperlembagaan yang kita
ambil pakai, kata-kata "atas nasihat" tentunya lebih diplomatic dan
lebih sedap didengar daripada "seperti yang diperintahkan" atau
"mengikut arahan" Perdana Menteri!
Terdapat satu perkara lagi yang perlu diketahui oleh
YDPA, iaitu konvensyen. Sistem raja berperlembagaan tidak boleh berfungsi tanpa
konvensyen. Ada perkara yang YDPA, seperti juga King atau Queen England mesti
lakukan walaupun Perlembagaan (Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis,
England tidak) Perlembagaan tidak menyebutnya.
Satu contoh yang baik ialah Perkara 44 adalah contoh
yang baik:
“44. Kuasa perundangan Persekutuan
hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang
di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan
Dewan Rakyat.”
Menurut konvensyen, selepas kedua-dua Dewan Rakyat dan
Dewan Negara meluluskan sesuatu rang undang-undang, YDPA hendaklah
memberi persetujuan baginda. Menurut konvensyen, baginda tidak boleh menolak
untuk memberikan persetujuannya. Sekiranya konvensyen ini dan konvensyen-konvensyen
lain diketahui dan dipatuhi pada tahun 1983, mungkin krisis perlembagaan
pertama dapat dielakkan dan pindaan-pindaan yang banyak yang dilakukan kepada
Perlembagaan itu tidak perlu.
Nasib baik atau tidak, selepas tiga Perdana Menteri
pertama adalah peguam, Perdana Menteri keempat pada masa itu, seperti yang
ketujuh, adalah seorang doktor perubatan. Maka, doktor perubatan itu pun melakukan
pembedahan ke atas Perlembagaan yang digubal oleh Law Lords England.
Biasanya, setiap orang yang menjalani pekerjaan baru
melalui latihan dalam perkhidmatan. Saya fikir pekerjaan yang tertinggi dan
paling penting di negara ini juga tidak patut dikecualikan, melainkan YDPA
adalah seorang peguam. Tiada apa-apa yang hendak dimalukan. Adalah lebih baik
untuk belajar lebih awal daripada membuat kesilapan kemudian, apatah lagi
apabila kesilapan itu akan membawa akibat kepada seluruh negara.
Sampai kepada rakyat. Terdapat kecenderungan yang
semakin meningkat di kalangan orang Melayu untuk meminta Raja-Raja, melalui Majlis
Raja-Raja, untuk campur tangan dalam berbagai perkara, undang-undang,
pentadbiran dan politik di mana mereka tidak mendapat perhatian atau
penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan.
Sekarang, terdapat satu trend menghantar memorandum
kepada Raja-Raja mengenai isu politik semasa, meminta Raja-Raja, melalui Majlis
Raja-Raja, untuk campur tangan. Perlu diingati bahawa Majlis Raja-Raja telah
ditubuhkan untuk tujuan tertentu. (Sila baca ucaptama saya "Majlis
Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan Persekutuan" (19 September
2017).
Adalah penting bahawa YDPA, Raja-Raja, ahli-ahli
politik dan rakyat mengetahui kuasa dan sempadan bidangkuasa institutsi-institusi
dalam sistem raja berperlembagaan dan institusi-institusi itu hendaklah
befungsi dalam sempadan bidangkuasanya dan tidak diminta untuk mengganggu dalam
perkara-perkara di luar bidang kuasanya.
Apa yang
paling menyakitkan hati sekarang ialah peningkatan komen kasar, biadab, kurang
ajar dan penghinaan terhadap YDPA dan Raja-Raja yang dilakukan oleh, biasanya
pemuda pemudi Cina, di media sosial. Tiada pula tindakan diambil terhadap
mereka. Adakah ini kegagalan polis atau Peguam Negara atau dasar Kerajaan PH? Kebebasan
bersuara ada hadnya. Orang yang tidak tahu, tidak peduli atau tidak menghormati
had kebebasan atau memang biadab dan kurang ajar tidak sepatutnya dibiarkan
menyalahgunakan kebebasan itu.
Tun Abdul Hamid Mohamad
09 01 2019
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
No comments:
Post a Comment