Friday 11 January 2019

SEJARAH DAN FAKTA JAJAHAN JELI

Jeli merupakan salah sebuah jajahan (daerah) di Kelantan. Jajahan Jeli dibentuk sebagai jajahan kecil oleh pentadbiran negeri Kelantan pada Julai 1982, selaras dengan keperluan untuk memudahkan urusan pentadbiran.

Pembentukan kawasan jajahan Jeli meliputi sebelah utara yang menjadi sebahagian daripada daerah Tanah Merah manakala di sebelah selatan yang dimiliki oleh Kuala Krai.

Jeli menjadi jajahan penuh pada 1 Januari 1986 dengan adanya Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli dan merupakan jajahan yang ke-10 di Negeri Kelantan.

Jajahan Jeli terbahagi kepada tiga kawasan pentadbiran kecil daerah (mukim) iaitu daerah Jeli, daerah Batu Melintang dan daerah Kuala Balah.

Dari segi kedudukan geografinya, jajahan Jeli ini adalah bersempadan dengan daerah Sukhirin, Thailand di sebelah utara, manakala di sebelah selatan bersempadan dengan jajahan Gua Musang, di sebelah timur pula bersempadan dengan jajahan Tanah Merah (Jedok dan Ulu Kusial) dan di sebelah barat bersempadan dengan daerah Grik, Perak. 

Keadaan muka bumi 82 peratus adalah berbukit bukau, berhutan rimba, dan banyak alur serta sungai. Jajahan ini terletak di antara 90 meter – 500 meter dari paras laut. Jajahan ini terletak di antara Sungai Pergau, Sungai Renyut, Sungai Suda dan Sungai Balah.

Pekan Jeli merupakan bandar utama pusat pertumbuhan ekonomi dan menjadi pusat pentadbiran bagi jajahan Jeli. Pekan Jeli merupakan bandar/pekan utama di Jajahan jeli ini terletak kira-kira 98 km dari bandar Kota Bharu melalui Jalan Raya Timur Barat.

Manakala, dari bandar Gua Musang pula hanya sejauh 115 km sahaja melalui Jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang dan dari bandar Kuala Krai adalah sejauh 132 km melalui Jalan Jeli-Pekan Dabong-Sungai Sam-Kuala Krai.

Di Batu Melintang terdapat sebuah gunung yang dikenali sebagai Gunung Reng yang menjadi tarikan kerana sejarahnya dan keindahan semula jadi.

Empangan hidroelektrik Pergau terletak dalam jajahan Jeli.

No comments:

Post a Comment