Saturday 2 February 2019

WAJIB BERI WALA' KESETIAAN KEPADA PEMIMPIN


Kewajipan memberi wala’ atau walak (kecintaan dan kesetiaan) kepada pemimpin di dalam sebuah negara amat penting dan ia boleh menentukan masa depan dan kejayaan yang hendak dicapai.

Konsep itu juga akan menentukan sesebuah kerajaan atau organisasi dapat bertahan lama dalam keadaan aman dan harmoni. Organisasi akan hancur akibat perpecahan jika anggota atau ahlinya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala dan taat atau kesetiaan kepada ketua.

Kesetiaan merujuk kepada semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya. Ia menjadi tuntutan agama lebih-lebih lagi dalam budaya pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip spekulasi dan andaian pada hari ini.

Wala dari segi bahasa ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan malah, ia juga membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan dan perlindungan.

Konsep wala yang diamalkan di dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan seseorang kepada ketua, pemimpin, imam atau seumpamanya dipupuk dengan nilai kasih sayang, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin sah.

Ketaatan dan kepatuhan kepada pemimpin itu hanyalah tertakluk kepada perkara kebaikan yang tidak melanggar syarak dan bukannya membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa.

Konsep wala dan taat menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran, mengelakkan perselisihan dan konfrontasi dalam kalangan rakyat dan pemerintah, mengelak ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

Ia juga membendung budaya memperkotak-katik rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi termasuk menutup ruang terhadap campur tangan kuasa asing dalam negara.

No comments:

Post a Comment