Sunday, 16 June 2019

ELAK TERLALU BINCANG ISU MORAL PEMIMPIN


Apabila berlaku isu panas berkaitan pemimpin, ia akan disensasikan sehingga seluruh tumpuan rakyat dialihkan kepada isu berkenaan sehingga menghabiskan masa membincangkan isu yang bersifat teramat peribadi itu.

Ada individu atau pihak akan menyokong habis-habisan pemimpin berkenaan dan ada pula mengambil kesempatan untuk menjatuhkan. Maka, wujud pihak yang terlagah sehingga wujud hubungan tegang.

Masyarakat khususnya umat Islam seharusnya mengelakkan diri daripada terus mensensasikan isu berkenaan yang tidak ada baiknya sehingga boleh mewujudkan ulasan, kritikan, syak wasangka, tuduhan dan tohmahan yang tidak bertanggungjawab.

Kalau berterusan, kesannya kita tidak lagi dihormati dan kita akan menjadi golongan yang tidak memahami tentang keperibadian yang sebaiknya, yang sepatutnya ada sifat malu, sifat menjaga maruah.

Perkara seperti ini banyak melukakan maruah, mencarikkan maruah seseorang, bahkan kadang-kadang boleh melumpuhkan kehidupan dan peribadi seseorang.

Perbuatan tersebut sewajarnya kita hindarkan kerana satu daripada ajaran Islam hendaklah kita menolak apa yang dikatakan mencarikkan atau meruntuhkan maruah seseorang, ini sebahagian daripada perkara yang sepatutnya kita tentang.

Kita perlu sedar dan menginsafkan betapa fitnah satu perkara yang cukup bahaya, tanpa saya tuding jari kepada sesiapa, tetapi sifat fitnah itu tidur, dan Allah melaknat siapa yang mengejutkannya.

Membicara sesuatu yang tidak pasti merugikan masa, merugikan pahala dan didosakan. Umat Islam sepatutnya mempunyai sifat malu yang merupakan sejuzuk daripada iman dan sentiasa menginsafi diri dengan tidak mendedahkan aib diri sendiri mahupun orang lain sebagaimana ajaran Islam.

Sepatutnya kita sentiasa menginsafi diri dan jangan kita mendedahkan aib kita, bahkan aib orang lain kita wajib tutup, aib kita pun wajib kita tutup, sebab Rasulullah SAW ajar kita, siapa yang tutup aib orang Islam, Allah akan tutup aibnya pada hari kiamat kelak.

Apa-apa pun isu atau kejadian yang berlaku, biarlah pihak berkuasa membuat penyiasatan dan menjalankan tugas mereka, serta mengambil tindakan sewajarnya.

Berdiam bukan bermakna ingin membiarkan perkara itu terus berlaku, tetapi memberi ruang kepada pihak berkuasa yang bertindak.

Lainlah jika pihak berkuasa berdiam diri berkaitan perkara itu atas sebab ingin melindungi individu tertentu. Maka, ketika itu rakyat perlu bangkit mempersoalkan agar ia diambil tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment