Monday, 17 June 2019

REBUT PELUANG DAPAT HIDUP LEBIH LAMA


Kematian itu pasti apabila tiba masanya. Namun, semua orang ingin hidup lebih lama. Selama mungkin yang boleh.

Biarpun sedar ada batas waktu yang akan tiba masanya akan mati, usaha untuk terus hidup akan tetap dilakukan. Sebab itu, orang sanggup berhabis wang semata-mata untuk terus melakukan rawatan yang boleh membantunya hidup lebih lama.

Namun, pada masa sama, kita juga pelik dengan sikap manusia yang tidak sayangkan nyawa dengan melakukan perbuatan yang boleh bahayakan kesihatan menjadikan cepat mati.

Lihatlah, betapa ramai orang tidak memperdulikan soal keselamatan di jalan raya. Pemandu kenderaan masih lagi melakukan perbuatan boleh mengundang bahaya seperti memandu laju, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan macam-macam lagi.

Bagi golongan muda pula ramai terjebak dalam kancah penagihan dadah. Semua orang tahu dadah itu bahaya dan boleh membunuh. Namun, itu tidak dipedulikan lagi apabila telah ketagih dadah. Mereka menjadi seperti tengkorak hidup.

Satu lagi perbuatan yang terang-terang mendatangkan bahaya yang paling ramai orang melakukan perbuatan itu ialah merokok. Mereka disahkan sebagai punca kebanyakan penyakit berbahaya seperti kanser.

Puluhan ribu perokok meninggal dunia setiap tahun akibat perbuatan merokok di negara kita. Ramai yang menderita sakit akibatnya.

Untuk berhenti merokok memang sukar. Tetapi, ada yang berjaya berhenti merokok apabila 'terpaksa' akibat penyakit. Malangnya, mereka kembali merokok apabila sembuh atau penyakit itu beransur hilang.

Jangan persiakan peluang bebas rokok apabila mampu dilakukan. Anda untung tanpa rokok.

No comments:

Post a Comment