Sunday 22 August 2021

HEBAT KEHIDUPAN ZAMAN KANAK-KANAK DAHULU

Lain dahulu lain sekarang. Tentunya hidup kanak-kanak dahulu tidak sama dengan kanak-kanak zaman sekarang. Keadaannya jauh berbeza.

Biarpun kehidupan dahulu dikaitkan dengan kemiskinan dan saat sukar, tetapi banyak yang mengimbau kenangan pada usaia kanak-kanak dan remaja sebagai yang indah.

Cuba tanya orang dewasa ... indah tak hidup mereka pada masa kanak-kanak dahulu. Pastinya banyak yang menjawab .... teramat indah dan seperti ingin kembali kepada alam tersebut.

Indahnya hidup zaman kanak-kanak dahulu. Bebas bergaul dan bermain macam-macam jenis permainan.

Semua permainan kanak-kanak pada masa dahulu berbentuk lasak dan kerjasama dalam kumpulan.

Alatan permainan mereka dicari sendiri dari sumber semulajadi yang ada di sekitar mereka. Tidak perlu dibeli. Hanya perlu kreatif dan bijak menggunakan apa yang ada.

Budak dahulu lasak. Mandi sungai, main air hujan, berkejaran dalam lumpur, memanjat pokok, bermain dengan binatang ternakan dan sebagainya.

Sanggup berhujan memacing ikan, menahan taut, pasang pukat dan tahan tembila. Pada musim kemarau pula berkubang menimba di kubang ikan.

Kena sengat ikan keli tu kira sudah biasa sangat. Hanya jarang-jarang ada yang kena pagut ular.

Hendak dapatkan burung mereka akan melastik atau menahan racik. Kalau tidakpun mereka panjat pokok ambil anak burung yang masih belum boleh terbang berada di dalam sarang.

Makanan budak dahulu agak terhad dari segi jenis dan rasa. Namun, semua itu makanan yang sihat. Ibu bapa mereka sendiri yang masak.

Musim buah, mereka panjat sendiri pokok buah-buahan di kebun milik keluarga. Atau, kalau yang nakal akan mencuri buah dari kebun jiran.

Dikejar jiran kerana mencuri buah tu kira sudah perkara biasa. Jiran kejar bukan kerana kedekut, tetapi untuk halang budak-budak petik buah yang belum masak. 

Menariknya budak-budak dahulu sudah tahu tentang erti tanggungjawab. Mereka bermain pondok-pondok dan masak-masak. 

Mereka berlakon menjadi ibu, bapa dan anak. Si bapa akan keluar mencari bahan yang hendak dimasak. Si ibu pula tugasnya memasak. Si anak-anak pula akan membantu bapa atau ibu mengikut jantina masing-masing. 

Indahnya ketika itu....


 

No comments:

Post a Comment