Friday 31 March 2017

Senarai parti serpihan PAS

Sejarah penubuhan atau lahirnya Pas adalah dari rasa kecewa Ahmad Fuad merebut jawatan Yang Dipertua (Presiden) UMNO apabila kalah kepada Tunku Abdul Rahman.

Maka tidak hairan jika sikap dan pembawaan pemimpin dan penyokong Pas juga begitu yang telah melahirkan beberapa parti baru.

Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) diasaskan oleh Datuk Muhamed Nasir pada tahun 1977 apabila beliau dipecat oleh Pas.

Pemecatan Mohamed Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti Barisan Nasional. Ketika itu, Pas adalah sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional. Akhirnya Pas menarik diri daripada Barisan Nasional dan hilang penguasaan negeri Kelantan. 

BERJASA membentuk kerajaan gabungan dengan UMNO selepas pilihan raya negeri tahun 1978. BERJASA lalu menyertai Barisan Nasional, namun sokongan bagi BERJASA hilang dalam pilihan raya seterusnya.

Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) telah dilancarkan penubuhannya oleh Pengerusi penaja HAMIM, Datuk Asri Muda, pada 24 Mac 1983.

Tan Sri Asri Muda dan Datuk Muhamed Nasir, kedua-duanya adalah bekas Menteri Besar Kelantan. Asri menjadi Menteri Besar dari 1964 hingga 1973, manakala Muhamed pula untuk tempoh 1973 hingga 1978.

Pada 1989, kedua-dua parti itu menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di bawah pimpinan Tengku Razaleigh yang ketika itu memimpin Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46). APU turut disertai Pas.

Satu lagi parti serpihan Pas ialah Islah yang lahir akibat rasa tidak puashati sebilangan pemimpin tehadap keputusan Muktamar.  

Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang kemudianya dikenali Parti KITA ditubuhkan Hanafi Hamat sekitar tahun 1985 juga serpihan dari Pas. 

Berlainan dengan HAMIM dan BERJASA yang mendapat sokongan sebahagian besar ahli Pas menyertainya, penubuhan Islah dan AKIM tidak mendapat sokongan ramai.

Parti Amanah Negara memberi tamparan hebat kepada Pas kerana ia mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri kerana ia digerakkan oleh sebilangan besar pemimpin Pas yang dikenali sebagai barisan pemimpin progresif yang kalah dalam pemilihan pada Muktamar tahun 2015, diketuai Mohamed Sabu.

Setiap pemimpin mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing. Mereka ini mempunyai banyak pengaruh terutamanya terhadap golongan profesional dalam Pas, anak-anak muda serta pengundi atas pagar yang selama ini menyokong Pas.

No comments:

Post a Comment