Friday, 31 March 2017

SERANGAN PEMIKIRAN - ISLAM PENGGANAS

Banyak cara dilakukan kafir dalam melakukan serangan pemikiran ini bermula dari perkara besar sehingga kepada perkara kecil asalkan dapat mengubah sedikit demi sedikit jatidiri orang Islam.  Tangan-tangan asing sentiasa mengambil kesempatan membuat serangan pemikiran terhadap umat Islam.  

Pakar orentalis seringkali mengaitkan Islam dengan keganasan dan peperangan.  Malah, mereka menuduh Islam disebarkan melalui peperangan dengan mengambil sejarah sebagai bukti, kononnya Nabi Muhammad SAW telah memimpin banyak peperangan untuk tujuan melebarkan pengaruh Islam. 

Dakwaan ini memang mudah diterima oleh mereka yang cetak pemikiran kerana memang sejarah telah mencatatkan Rasulullah SAW telah mengepalai 27 peperangan.  Namun, perlu dinyatakan bahawa peperangan ini bukan atas kehendak Rasulullah SAW sebaliknya atas dasar mempertahankan diri, membantu rakan yang mempunyai perjanjian bersama dan kumpulan yang ingkar kepada perjanjian damai yang dimetrai, selain disebabkan tidak dibenarkan untuk menyebarkan Islam di kawasan tertentu.

Atas alasan itu, pihak orentalis pula menuduh sikap pihak tertentu dalam Islam yang melakukan perbuatan ekstrem bahawa itu adalah ajaran Islam.  Tuduhan itu tidak berasas kerana Islam lebih pentingkan keamanan dan kesejahteraan. Islam tidak menyokong sebarang bentuk kekerasan.  

Islam lebih mementingkan gerakan kesederhanaan atau wasattiyah.

Barat tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan oleh kumpulan ekstrem itu sebenarnya berpunca sikap sesetengah pihak yang menindas dan memusuhi Islam.  Pun begitu, walaupun apa alasanya, Islam tidak membenarkan keganasan dilakukan terutama melibatkan golongan kanak-kanak, perempuan dan mereka yang tidak berdaya. 

Label sebagai pengganas telah menyebabkan umat Islam dipandang seorang.  Apa saja tindakan umat Islam dicurigai oleh rakyat dan negara bukan Islam.  Macam-macam sekatan dan ancaman dilakukan terhadap orang Islam.  Perbuatan itu sebenarnya salah satu tindakan terancam untuk terus mengenakan tekanan kepada orang Islam yang dilihat semakin mengancam kedudukan mereka. 

Keadaan itu sekaligus memberi tekanan besar kepada umat Islam dan sekaligus memusnahkan potensi umat Islam untuk terus mendapat hak di negara bukan Islam.  Semakin teruk apabila terdapat individu Islam yang bertindak di luar batasan undang-undang disebabkan tidak tahan dengan tekanan yang diterima itu dengan melakukan perkara yang nyata salahnya. 

Tindakan seumpama itu dijadikan bukti oleh bukan Islam bahawa benarlah orang Islam layak dipanggil sebagai ekstrem.  Inilah situasi yang berlaku apabila umat Islam bangkit membantah ketidakadilan layanan yang diterima oleh mereka di beberapa buah negara Eropah.


No comments:

Post a Comment