Wednesday 29 March 2017

Darah belangkas bernilai tinggi dapat sambutan

Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit. Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.

Haiwan ini merupakan artropodlaut yang bentuk badannya mirip kepada topi besi tentera, tetapi lebih leper dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.

Belangkas boleh dimakan sama ada telur atau isinya. Bagaimanapun, hanya belangkas betina yang sesuai dimakan kerana mempunyai banyak isi. Belangkas hidup berpasangan setiap masa. Sebab itu ada pepatah mengatakan seperti belangkas yang bermaksud pasangan yang sukar untuk dipisahkan. 

Selain belangkas boleh dimakan, kini belangkas mendapat permintaan tinggi kerana bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin. Kit anti-toksin menggunakan belangkas telah berkembang di Barat  sejak 1988.

Sebab itu, belangkas kini mempunyai nilai komersal yang tinggi, terutama darahnya. Uniknya darah belangkas berwarna biru mempunyai nilai di pasaran yang tinggi di Barat. Fakta tahun 2013 mencatatkan harga bagi setiap liter darah belangkas boleh mencecah kira-kira RM18,000 di Amerika Syarikat.

Secara puratanya, untuk mendapat satu liter darah biru belangkas memerlukan kira-kira 100 ekor belangkas yang bersaiz kecil atau yang lazim terdapat di Semenanjung Malaysia. Namun, jika bersaiz besar yang biasa terdapat di Sabah, ia hanya memerlukan kira-kira 50 ekor sahaja.

Menariknya, darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut. Hanya kira-kira 10 peratus dari darah belangkas saja yang disedut dan kemudian dilepaskan semula ke habitat asal. Ia tidak ubah seperti proses menderma darah yang dilakukan oleh manusia. Jadi, ia boleh disedut berkali-kali dalam tempoh masa tertentu apabila ditangkap kembali.

Untuk memastikan bekalan mencukupi dan tidak putus, belangkas kini telah diternak secara khusus. Kawasan yang sesuai dipilih untuk dijadikan 'ladang' belangkas. Penternakan belangkas kini dianggap satu usaha yang amat menguntungkan. 

No comments:

Post a Comment