Sunday 23 April 2017

Agong bebas pengaruh politik

Kuasa Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dari sudut Perlembagaan untuk mengetahui hal ehwal kerajaan. Baginda menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja, diiringi oleh Perdana Menteri (PM).

Setiap awal pagi Rabu sebelum mesyuarat Kabinet, PM menemui baginda untuk memaklumkan perkembangan negara dan perkara-perkara yang mungkin menarik perhatian baginda. Baginda boleh menggunakan sesi ini untuk memberi pandangan kepada PM.

Bahagian IV Bab 1 Perlembagaan Persekutuan menegaskan banyak perkara penting berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Agong. 

Ada beberapa perkara, terutamanya sejarah feudal telah terserap ke dalam Perlembagaan Malaysia. Salah satunya adalah perkataan 'Raja' dan 'kerja', disatukan untuk menjadikan kerajaan di mana Sultan atau Raja adalah lambang kuasa dan kedaulatan.

Negeri Melayu berdaulat yang kuno bertakhtakan Raja atau Sultan masih lagi subur di dalam negeri-negeri yang diketuai Sultan di Semenanjung pada hari ini.

Kini Raja digelar sebagai Raja Berperlembagaan tetapi hakikatnya mereka masih mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar ke atas masyarakat, khususnya orang Melayu.

Dari fakta keputusan pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong sudah dapat memastikan ketua parti mana yang layak dan dapat menguasai keyakinan bilangan besar, iaitu parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Frasa 'percaya dapat menguasai' ini mungkin disalahtafsirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak sepenuhnya membuat penilaian dan pemilihan secara subjektif dalam pelantikan seseorang Perdana Menteri.

Tetapi, apabila diteliti keseluruhan ayat ini dan atas dasar prinsip yang diterima, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik sesiapa sahaja yang beliau berkenan.

Orang yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri mestilah seseorang yang dapat menguasai keyakinan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

Artikel 40 memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hampir dalam semua perkara bertindak atas nasihat Kabinet.

Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong dipandang sebagai pemegang kuasa tertinggi kerana semua perkara yang dilaksanakan sebagai sebuah kerajaan dilakukan bagi pihak baginda. Kedudukan baginda sebagai Komander Tertinggi Angkatan Tentera menunjukkan lingkungan kedudukan baginda sebagai eksekutif yang tinggi.

No comments:

Post a Comment