Wednesday 10 May 2017

Hukum sambut Hari Ibu

Hari Ahad kedua dalam bulan Mei setiap tahun diiystiharkan Hari Ibu. Semua insan bergelar ibu tentu bangga ada satu hari digelar Hari Ibu. Ia disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.  

Persoalannya apakah menghargai jasa ibu sekadar sehari dalam setahun? Memadaikah hanya sehari ibu diraikan dan disebut jasa serta pengorbanan ibu? Itulah tradisi dan kita tidak perlu pertikaikan perkara itu. 

Apa yang penting ialah kita perlu tanam dalam diri setiap anak (kita semua, kerana kita adalah anak kepada seorang ibu biarpun apa status kita sekarang) bahawa menghormati ibu adalah tanggungjawab sepanjang masa.  

Tidak ada hari, melainkan setiap hari sepanjang tahun ibu mesti diraikan pada kedudukan dan perhormatan tertinggi dengan penuh kasih sayang, ihsan dan cinta.

Bahkan, satu yang perlu dihayati dan difahami ialah perkara yang sama juga mesti diberikan kepada bapa. Dalam Islam kedudukan ibu lebih tinggi berbanding bapa dari segi penghormatan yang perlu diberikan oleh anak.  

Namun hakikatnya, kedua-dua ibu dan bapa mempunyai hak dan mesti dihormati oleh anak biarpun dalam apa keadaan sekalipun, melainkan dalam urusan yang bertentangan dengan hukum agama dan undang-undang negara.

Tidak salah bagi umat Islam turut merayakan Hari Ibu biarpun bukan dari tradisi atau perayaan dalam Islam. Sesuatu yang tidak ada nas atau perintah mengharamnya, maka termasuk dalam kategori harus.  

Sambutan Hari Ibu bukan berkaitan perayaan agama lain, biarpun dicetuskan oleh orang bukan Islam. Memang pun, perayaan yang disambut di seluruh dunia, tidak termasuk yang berkaitan dengan agama Islam, adalah ‘dicipta’ oleh bukan Islam.     

Sebenarnya sambutan Hari Ibu telah bermula sejak zaman empayar Roman purba beribu-ribu tahun lalu. Penghormatan yang diadakan pada setiap musim bunga itu asalnya ditujukan kepada Dewi Rhea yang dianggap oleh orang Greek purba sebagai ibu kepada tuhan. 

Di kalangan orang Kristian, sambutan Hari Ibu dibuat ketika perayaan Lent (40 hari sebelum perayaan Easter) sebagai tanda penghormatan kepada Mary, ibu kepada Christ.

Sambutan Hari Ibu moden bermula pada 8 Mei 1914 di Amerika Syarikat hasil usaha Anna M Jarvis yang begitu mengkagumi usaha dilakukan oleh ibunya, Anna Jarvis dalam kerja-kerja membantu orang miskin dalam masyarakatnya. 

Untuk menghargai jasa ibunya, Anna M Jarvis telah melobi pelbagai pihak di Amerika Syarikat, termasuklah Presiden Taft dan Roosevelt untuk menamakan dan merayakan satu hari sebagai Hari Ibu. Walaupun sambutan Hari Ibu untuk seluruh insan bergelar ibu, hakikatnya Anna M Jarvis ingin mengabadikan jasa ibunya untuk dikenang sepanjang masa.

Presiden Woodrow Wilson telah mengisytiharkan hari Ahad kedua pada setiap Mei sebagai Hari Ibu. Bermula saat itu sambutan telah meluas ke seluruh dunia dan menggunakan tarikh sambutan di Amerika Syarikat sebagai rujukan.

Dalam Islam, jasa ibu bukan sekadar dikenang dan dihargai, tetapi satu perintah daripada Allah agar setiap anak wajib mentaati, mengasihi, berbakti dan mengutamakan ibu dalam segenap perkara sepanjang masa. 

Perintah agama lebih menyeluruh dan lebih bermakna daripada sambutan Hari Ibu. Sambutan Hari Ibu sekadar satu tradisi, sedangan perintah Allah menjadi hukum yang mesti dilaksanakan. 

Jadikan hari ibu sepanjang tahun, dan berusahalah mengembirakan hati ibu tanpa perlu menunggu Hari Ibu sekali setahun.

No comments:

Post a Comment