Wednesday 10 May 2017

Bahaya makan durian

Pengemar durian berdepan bahaya kesihatan jika makan durian berlebihan. Kesan buruk atau keburukan makan durian berkaitan kandungan mineral yang terdapat dalam durian. 

Tidak dinafikan mineral itu diperlukan oleh badan, tetapi jika diambil dalam jumlah yang banyak akan mendatangkan bahaya kepada organ dalam badan. 

Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah di antaranya. 

Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan tidak boleh terlalu lebih.

Potassium adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengepam darah.  

Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, kejang otot dan sakit otot.

Terlebih potassium pula, dipanggil hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi pengucupan otot jantung.

Hyperkalemia adalah kes kecemasan yang perlu dirawat segera. Ia boleh menyebabkan gangguan kadar denyutan jantung bahkan boleh menyebabkan denyutan jantung terhenti.

Bagi orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya peringkat yang bergantung kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing.

Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan ini. Dalam kes ini, potassium.

Antara jenis makanan mempunyai kandungan potassium yang tinggi ialah durian, nangka dan pisang. Bagi 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, nangka (448 mg) dan pisang 358 mg potassium.   

Atas sebab itulah, mereka yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada dialisis, agar berpantang buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.

Berpantang dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus.  

Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan high potassium lain.

Contohnya, pagi makan durian, tengah hari makan nangka dan malam pula makan pisang.  Makan pula dalam jumlah yang banyak. Memang kesannya amat berbahaya.

Islam mengajar agar kita bersederhana dalam soal makan dan perkara lain. Perlulah kita lebih berhati-hati jika sudah mengalami masalah kesihatan. Makanan yang bagus bagi orang sihat, tetapi berbahaya kepada orang menghadapi masalah fungsi organ.   

Berhati-hati dalam mengambil makanan. Anda sendiri yang kenal makanan mana yang memberi kesan buruk kepada kesihatan berdasarkan kepada pengalaman masing-masing. Bersederhana dan berpantang adalah langkah terbaik untuk kesihatan.

No comments:

Post a Comment