Saturday 30 September 2017

Kedudukan ekonomi Melayu lemah

Fakta menunjukkan kedudukan ekonomi orang Melayu masih rendah berbanding kaum lain. Dalam era pasca DEB, data Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud.

Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera.

Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

Satu kebenaran pahit untuk akui kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama.

Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta.

Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing.

Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu.

Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. 

Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju. 

Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. 

Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment