Saturday 30 September 2017

Cabaran hebat terhadap umat Islam

Negara sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari kita mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam.

Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Lebih malang lagi ada pihak berkepentingan sanggup mengiyakan apa yang dilakukan bukan Islam, biarpun ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan norma-norma kehidupan masyarakat Melayu.

Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia.

Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober 2014 memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain.

Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan. 

Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme.

Dalam konteks perjuangan agama bangsa, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan sesama sendiri yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. 

Justeru, amat penting umat Islam terus kukuh berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Jangan mudah terpengaruh dengan fahaman baharu yang menyeleweng.


No comments:

Post a Comment