Saturday 30 September 2017

Maksud definisi hadis

Dari segi bahasa, hadis berasal daripada perkataan Arab iaitu daripada kata dasar  hadatha  dan haddatha. Manakala makna hadis pula terbahagi tiga.  

Pertama ialah baharu yang merupakan lawan kepada yang lama. Manakala yang kedua ialah dialog, perbualan, percakapan atau kisah. Makna yang ketiga ialah khabar atau berita.

Menurut terminologi pula, beberapa pakar hadis mengemukakan definisi berbeza, namun tiada percanggahan dalam menjelaskan maksud. Contohnya, Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Hadis ialah apa-apa yang disandarkan kepda Rasulullah SAW."  

Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Hadis atau sunah Rasulullah SAW panduan bagi umat Islam bersama al-Quran. Hadis berkait rapat dengan Rasulullah SAW.  Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Kepentingan al-Quran dan al-hadis digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik).

Maka itu, penganut Islam memerlukan kepada hadis-hadis untuk rujukan dan panduan hidup. Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita Malaysia menggunakan kitab-kitab hadis untuk dijadikan rujukan. 

Antara kitab rujukan terkenal ialah Sahih Muslim dan Sahih Bukhari yang dijilid dalam bentuk lengkap sepenuhnya.

Bagaimanapun tidak semua orang berpeluang memiliki kitab Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Sebaliknya banyak yang merujuk kitab hadis berdasarkan kepada bab-bab tertentu saja yang disalin semula atau dijadikan sebahagian daripada sesebuah makalah, naskah atau rencana.

Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku-buku agama. Selain itu, banyak orang belajar hadis dengan berguru, kemudian mencatat sendiri hadis itu untuk rujukan atau kegunaan masa depan.  

Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan taknologi moden. Paling ketara perubahan yang berlaku dalam dekad ini ialah penggunaan internet atau hubungan dunia maya dan perisian. Mereka yang ingin mencari sesuatu maklumat hanya perlu melayari internet dan mengikut prosudur yang amat ringkas untuk mendapat apa yang diingini. 
           
Kaedah melayari internet juga kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis. Cara ini semakin meluas dan telah diterima oleh semua golongan, terutama mereka yang dikategorikan sebagai celik komputer. Kaedah ini diterima secara global dan menjadi satu transformasi dalam penyebaran maklumat atau ilmu.

Penggunaan interaksi alam maya juga telah digunakan sebagai satu pendekatan dakwah. Justeru itu, kemasukan atau entri hadis-hadis juga berlaku secara meluas dalam rangkaian internet. 

No comments:

Post a Comment