Sunday 24 September 2017

Mangsa penipuan peluang kerja

Pernahkah anda melihat atau terbaca iklan, terutama di media sosial yang menawarkan pekerjaan menarik yang boleh dilakukan di rumah? Kerja hanya dua atau tiga jam sehari yang boleh dilakukan di rumah asalkan ada internet dan telefon pintar.

Kerja mengisi katalog dalam sampul surat memang mudah dan menarik. Begitu juga memasang barang permainan, mengirim koleksi setem, gambar dan sebagainya. Tugas menyalin dan mentularkan link laman sesawang kini semakin mendapat perhatin ramai.

Sebahagian daripadanya terbukti benar menawarkan pekerjaan seperti yang diiklankan, namun sebahagian lagi dikesan menipu orang ramai sehingga membabitkan kerugian mencecah ratusan ringgit.

Mereka bukan memberi peluang untuk kita mendapatkan wang, sebaliknya peluang mereka untuk membuat wang dengan menipu kita. Penipuan dilakukan dengan cara individu ingin menyertai program berkenaan perlu terlebih dahulu membayar wang yuran penyertaan, bayaran pemprosesan dan sebagainya.

Kegiatan ini bukan perkara baru, namun ia terus berleluasa kerana sukar untuk menjejak penjenayah yang bijak berselindung di sebalik taktik licik.

Penipu menggunakan modus operandi berikut:
- Licik dan gemar ambil kesempatan terhadap orang lain.
- Tahu akan proses membuka serta menguruskan akaun di bank.
- Mempunyai rakan untuk kendalikan panggilan, SMS, penghantaran borang dan lain-lain.

Sasaran mangsa:
- Individu yang ada masa lapang.
- Mahu cari rezeki sampingan.
- Suri rumah yang ingin bantu meringankan beban tanggungan keluarga.
- Tertarik dengan tawaran lumayan.
- Mudah percaya sesuatu perkara, tidak mengesyaki orang lain.
- Kurang ikuti perkembangan dunia luar.

Modus operandi.
- Suspek masukkan iklan kecil dalam akhbar harian aatau terkini paling popular menggunakan media sosial untuk tarik perhatian mangsa.
- Alamat digunakan palsu - tidak wujud, pejabat kosong, pejabat orang lain atau alamat peti surat perkhidmatan pos - agar identiti serta kegiatan mereka sukar dikesan.
- Orang yang tertarik boleh terus hubungi melalui whatsaps.
- Suspek akan minta nama dan alamat mangsa untuk kirim borang pendaftaran.
- Mangsa diminta masukkan wang deposit (wang pendaftaran kerja) ke dalam akaun syarikat.
- Mangsa dikehendaki mencari pelanggan lain.
- Program sebenarnya skim cepat kaya yang berselindung di sebalik peluang pekerjaan.

Tip elak jadi mangsa.
- Jangan mudah percaya dengan iklan yang disiarkan terutamanya yang meminta berhubung melalui media sosial.
- Dapatkan pengesahan perkhidmatan tawaran syarikat daripada Kementerian Sumber Manusia.
- Dapatkan khidmat nasihat daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
- Waspada akan teknik membuat bayaran dahulu, sebelum mendapat atau menerima sebarang perkhidmatan atau kerja yang ditawarkan.
- Jika curiga dengan tawaran yang diiklankan, buat laporan polis.

No comments:

Post a Comment