Sunday 24 September 2017

Ambil pinjaman tidak berlesen

Kegiatan pemberi hutang (pemiutang) tidak berlesen atau dikenali Along berleluasa. Kes Along mendapat perhatian bukan kerana mereka memberi hutang, tetapi perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap penghutang yang tidak mampu menjelaskan hutang.  

Memberi penjaman tanpa lesen memang satu kesalahan, tetapi kesalahan lebih besar ialah melakukan jenayah.  

Kes jenayah Along kini semakin mendapat perhatian kerajaan untuk membanterasnya.  

Sekiranya dahulu Along sekadar mengugut peminjan yang gagal menjelaskan hutang, tetapi kini bertindak ganas menculik ahli, merosak harta benda, membakar kediaman, mencederakan dan membunuh. Along bertindak lebih berani apabila kegiatan mereka dilindungi pihak tertentu. 

Kegiatan Along lahir adanya permintaan orang ramai yang ingin berhutang disebabkan memerlukan wang segera dengan cara mudah. Ini membuktikan ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan hidup terdesak dan pelbagai tujuan. 

Diakui kehidupan sekarang, terutamanya mereka tinggal di bandar memerlukan wang untuk pelbagai tujuan. Istilah, jika ada wang semua boleh jadi, membuktikan berapa pentingnya wang dalam kehidupan.  

Dalam dunia ekonomi kapitalis sekarang, wang menjadi raja kehidupan. Kuasa berada pada sesiapa yang memiliki banyak wang. 

Bagaimanapun, meningkatnya permintaan terhadap hutang disebabkan kehendak manusia yang pelbagai dan melampuai kemampuan.  

Ramai berbelanja tidak mengikut kemampuan masing-masing. Selagi ada wang di tangan, maka sebanyak itulah akan dibelanjakan. Sikap boros dibisikan oleh syaitan kerana ia mendatangkan banyak keburukan.

Wang lebih yang dimiliki selain keperluan harian sepatutnya disimpan untuk digunakan apabila perlu. Ada kalanya pendapatan kita tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa. Ketika itulah wang simpanan boleh digunakan.

Disebabkan tiada simpanan yang boleh digunakan semasa wang amat diperlukan, sumber paling mudah diperoleh daripada Along. Perkhidmatan Along amat mudah diperoleh. Mereka menyediakan perkhidmatan tanpa banyak birokrasi. 

Along boleh ditemui untuk membuat pinjaman biarpun waktu sudah larut malam. Along tidak cerewet dan sentiasa ingin menolong. Malah mereka menyediakan kad perniagaan dibahagikan kepada orang ramai. Along ada di mana-mana untuk menghulurkan bantuan.

Pinjaman boleh diluluskan hanya dalam tempoh kira-kira sejam. Jika kena caranya, pinjaman diluluskan dalam tempoh masa 10 minit.  

Jumlah pinjaman pula sehingga lebih 10 kali ganda pendapatan. Tiada penjamin diperlukan. Begitu budah sekali berurusan dengan Along, tidak seperti dengan syarikat kewangan dan bank. 

Sebab itulah perkhidmatan Along amat terkenal dan menjadi tempat orang ramai mengadu masalah. Nama Along sendiri dipercayai mengambil nama gelaran abang sulung yang sentiasa ingin menolong adik-adiknya. 

Bagaimanapun, segala kebaikan Along hanya ketika memberi pinjaman. Along berubah sikap apabila ingin memunggut hutang.  

Along menjadi garang dan sanggup melakukan apa saja asalkan hutang mereka dijelaskan. Along bertukar penjenayah apabila ingin memungut hutang. Kebaikan Along hilang serta merta.

Tindakan Along tidak sedikitpun melambangkan sifat disuruh oleh firman-nya dalam surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud: “Dan jika si berhutang dalam kesukaran, maka berilah masa sehingga dia mampu (membayar). Sebenarnya kalau kamu mahu menyedekahkan hutang itu adalah baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Dalam Islam, kegiatan Along dinamakan pemiutang mengamalkan riba. Amalan riba dilarang dalam Islam. Riba adalah malapetaka kepada kehidupan manusia yang terpaksa menambah kesengsaraan ketika mana mereka sebenarnya sudah menanggung kesengsaraan.

Keburukan riba bukan saja dilarang dalam Islam, bahkan menjadi perjuangan dalam beberapa fahaman atau mazhab agama lain. Mereka menyedari keburukan riba dan ingin menghapuskan amalan riba. Mengambil riba tidak ubah seperti merampas hak orang lain.   

No comments:

Post a Comment