Sunday 24 September 2017

Kes sumbang mahram

Kejadian sumbang mahram menimbulkan ketakutan yang menggugat keamanan dalam institusi keluarga. Fenomena ini memperlihatkan wujudnya kecacatan dalam keluarga di mana hilang kasih sayang. 

Lelaki dalam keluarga yang sepatutnya menjaga keselamatan, kehormatan, maruah dan masa depan ahli keluarga perempuan tidak boleh lagi diharapkan.

Berdasarkan situasi sekarang, seperti tidak ada siapa lagi boleh dipercayai. Justeru, pendekatan jangan terlalu percayakan kepada lelaki mula wujud dalam diri sesetengah gadis.

Seseorang bergelar bapa, tidak kira bapa kandung atau bapa tiri, sepatutnya menjadi orang paling bertanggungjawab terhadap anak gadisnya. 

Bapa sepatutnya sanggup melakukan apa sahaja, hatta mengadaikan nyawa demi keselamatan dan maruah anak gadisnya.

Sesungguhnya, perbuatan bapa merogol anak adalah jenayah terkeji yang mengubah pandangan umum terhadap kedudukan bapa. 

Perbuatan itu yang dilakukan sebilangan kecil bapa durjana telah mencemar kemuliaan bapa pada pandangan seorang anak perempuan.

Rogol mahram turut melibatkan abang, abang tiri, adik, adik tiri, bapa saudara, abang atau adik ipar dan datuk.

Kejadian rogol mahram memperlihatkan kerakusan nafsu serakah tanpa mengenal mangsanya. Apabila nafsu tidak dikawal, akal fikiran tidak berfungsi lagi untuk membezakan baik dan buruk.

Ketika keinginan seks memuncak, soal halal haram tidak menjadi pertimbangan lagi. Malah, mereka tidak kisah lagi kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

Anak gadis dinodai mahram terpaksa melalui masa depan yang gelap. Pengalaman ngeri itu bertukar kepada pelbagai situasi dan kesan yang berkekalan. 

Mereka memberontak sehingga tidak memperdulikan nasib diri sendiri. Mereka hidup dalam keadaan tertekan dan memilih hidup bersendirian, pemarah, pendendam, pendiam dan mengalami penderitaan hidup.

Banyak mangsa di peringkat usia kanak-kanak tidak memahami takrif jenayah yang telah dilakukan terhadap mereka.  Penjenayah bijak menggunakan kejahilan mangsa untuk menuntup perbuatan yang dilakukan.  

Biasanya, perogol mahram melakukan perbuatan terkutut itu berulang-ulang kali. Mangsa tidak berani memberi tahu orang lain.

Nasib malang itu biasanya terbongkar apabila dirinya mengandung, mengalami kecederaan fizikal atau perubahan sikap yang ketara yang disedari orang lain.

No comments:

Post a Comment