Friday 24 August 2018

SEMANGAT SUKARELA DAN PENGORBANAN


Semangat sukarelawan dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan. Sukarelawan bersedia melakukan tugas tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan atau upah. Inilah semangat pengorbanan yang menjadi teras pegangan dan kepercayaan mereka yang terlibat dalam kesukarelawan. Tanpa mengira waktu, tidak kisah tentang siapa yang dibantu dan di mana mereka berada, khidmat sukarela dicurah lebih ikhlas dan bersemangat berbanding mereka yang mendapat upah. Tahniah semua sukarelawan.

Untuk entri kali ini, ambo salin dan tampal catatan di Facebook Nik Mustakim Yusoff, seorang sukarelawan di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan. Beliau telah menyumbang khidmat bakti secara sukarela melalui Bulan Sabit Merah sejak lebih 20 tahun lalu.

Baca catatan beliau:

Selamat pagi semua.
Tak sempat nak berkongsi aktiviti Raya Korban hari pertama sebab ini pengalaman pertama berada di Wound Care Clinic HRPZ pada hari bukan bekerja bersama Tuan doktor Zurairie Dyeela..

Pagi tadi saya dah 'korbankan' waktu solat Sunat Aidiladha sebab bas yang bawa 'maggot' lambat sampai. Sepatutnya sampai jam 5.30 pagi, tapi sampai jam 8.30 pagi sebab jammed cuti sekolah dan cuti raya.

Selesaikan urusan ibadah korban bersama keluarga sehingga tengahari.
Jam 3.00 petang, sampai di Wound Care Clinic HRPZ bersama Abe Lan.
Apabila sampai di sana, macam biasa, tuan doktor sedang merawat pesakit yang datang lebih awal bersama isteri beliau.

Saya ingatkan hanya Abe Lan sahaja pada hari ini, tetapi ada lagi yang lain dan semuanya adalah pesakit yang teruk-teruk yang kalau dibiarkan sepanjang cuti akan memudaratkan. Pesakit-pesakit yang bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam pun mungkin pelik melihat doktor bertugas hari ni yang tanpa sebarang bayaran.

Tengok pada keadaan di luar yang menunjukkan hari nak hujan, maka diberikan keutamaan kepada pesakit beliau yang tinggal di Pulau Suri walaupun datang selepas Abe Lan.

Saya diminta untuk membantu tuan doktor untuk kes ini kerana isterinya yang membantunya sejak jam 2.00 petang sudah kepenatan. Tapi doktor tiada pilihan.

'First time' pengalaman dalam bidang perubatan ini kerana saya banyak terlibat dengan projek banjir dan aktiviti khidmat masyarakat.

Ini kali kedua bertemu dengan adik ini yang tinggal di Pulau Suri. Kali pertama bertemu, hanya Allah yang tahu perasaan saya pada masa itu. Umur saya dengan dia tidak jauh beza, tetapi jika melihat pada keadaan semasa beliau, saya pasti semua akan terkejut. Kakinya hanya tinggal tulang sahaja dan hampir dipotong. Alhamdulillah, beberapa kali rawatan, sudah menampakkkan tindakbalas yang baik iaitu isinya dah semakin naik.

Pengalaman ini tidak dapat dijual beli. Yang dapat dikongsikan hanyalah kepentingan menjaga luka & mendapatkan rawatan daripada mereka yang ahli sahaja. Ini kerana jika tersilap langkah, kesan & risiko kepada pesakit amat tinggi.

Saya bersyukur dapat belajar secara langsung daripada tuan doktor. Menjaga adat & peraturan di bilik pesakit, mengenali alatan & keperluan untuk merawat pesakit.

Alhamdulillah, luka Abe Lan semakin pulih. Sudah nampak akan perubahan pada rawatan yang ke - 3 ini. Kerjasama antara doktor & pesakit amat penting dalam mencapai tujuan yang sama.

Pelbagai soalan & jawapan diberikan di antara kami. Masa macam ni la nak ambil apa yang boleh. Faham atau tidak, kita rujuk pula nanti.

Alhamdulillah, lebih kurang jam 8.30 malam, selesai pesakit yang terakhir pada hari cuti Raya Korban ini.

Masuk petang, keluar malam rupanya. Waktu berlalu terlalu cepat apabila berada di dalam klinik. Siang bertukar malam, tanpa kami sedari. Tetapi, pengalaman hari ini, in sha Allah, akan kekal di memori saya hingga akhir hayat.

Hanya Allah Taala yang dapat membalas pengorbanan tuan doktor dan semoga keikhlasan dan kecintaan kepada tugas seperti ini menjadi contoh kepada kita semua.

Terasa kepenatan beraksi pada hari ini walaupun hanya sebagai pembantu. Pengorbanan masa cuti bersama keluarga, cuti raya, rehat di rumah semuanya dilupakan. Apa yang penting, tanggungjawab & amanah bagi merawat pesakit-pesakit ini.

Senyuman & ucapan terima kasih adalah pembakar semangat untuk terus melaksanakan tugas istimewa ini.
In sha Allah.

No comments:

Post a Comment