Wednesday 22 August 2018

Celupar menghina raja membawa padah

Keceluparan mulut mengeluarkan kata-kata atau percakapan boleh mengundang bencana. Sebab itu kita sentiasa diingatkan agar berhati-hati apabila hendak berkata-kata. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Kisah penglipur lara banyak menceritakan kisah untuk dibuat pengajaran dalam melakukan sesuatu tindakan. Satu kisah penglipur lara ialah berkaitan Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja dan dijatuhi hukuman mati.

Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa. Apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.

Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.

Namun Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik. Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu.

Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman. Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluk labu ini?”

Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”

Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut.

Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?”

Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”
Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.”

“Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu. Jawab Si Lucai, “Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan.”

“Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa. Mereka pun sama-sama menyanyi. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan."

Senikata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan dayungan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”
Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.

Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum.

Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam.

Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.

Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.

“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda. “Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf. Patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini” kata Si Luncai.

“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya raja. Jawab Si Lucai, “Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati, termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda tuanku.”

“Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?” tanya raja terkejut. Lalu dijawab Si Luncai, “Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”

Raja terus bertanya, “Apa yang beta lakukan?” Maka Si Luncai menjawab, “Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,”

“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?” tanya raja bersungguh-sungguh. Si Luncai yang berasa perangkapnya telah terkena terus menjawab, “Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya. “Bagimanakah cara?” tanya raja.

“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti,” jelas Si Luncai.

Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati.

Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri.

Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

No comments:

Post a Comment