Wednesday 22 August 2018

Punca tentera Islam kalah dalam Perang Uhud

Dalam apa juga pertempuran atau perjuangan, ikut perintah pemimpin adalah perkara pokok untuk memastikan kemenangan. Sikap tamak dan mudah berasa gentar kepada cabaran akan menyebabkan berlaku kekalahan walaupun pada awalnya sudah berada di ambang kejayaan. Ikuti kisah bagaimana kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud biarpun pada awalnya telah nampak kemenangan.

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal tahun ketiga hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraiys. Perang Uhud adalah peluang untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.  

Penduduk Makkah (Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan Perang Badar. Saudagar saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis ekonomi. Oleh kerana itu, maka berundinglah semua pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua keuntungan perdagangan di tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.

Abu Sufian dipilih menjadi panglima perang, yang akan memimpin tentera tiga ribu orang jumlahnya. Di antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan bin Umaiyah bin Khalaf dan Ikrirnah anak Abu Jahal. Turut serta seorang yang gagah berani, iaitu Khalid Al-Walid.

Demi menjayakan misi mengalahkan tentera Islam, kaum perempuan dengan diketuai oleh Hindun (isteri Abu Sufian), dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi tentera yang ramai itu. Mereka turut ke medan perang memukul genderang.

Angkatan tentera Islam bertolak menuju ke Bukit Uhud sebelum matahari terbenam. Sebelum melepasi kota Madinah, seramai enam ratus orang Yahudi, kawan dari Abdullah bin Ubay, menyatakan hendak turut bertempur bersama-sama dengan Nabi SAW. Tapi Nabi SAW sudah tahu akan maksud mereka yang tidak jujur. Maka tawaran itu ditolak Rasulullah SAW dengan berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."

Kerana penolakan ini, Abdullah bin Ubay berasa malu dan marah. Abdullah kemudian berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang. Akibat termakan hasutan, 300 orang kaum Muslimin mengambil keputusan pulang ke Madinah membatalkan niat untuk turut berperang. Mereka inilah yang dinamakan kaum munafik.

Maka tinggallah Nabi SAW dengan 700 orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang yang diketuai oleh Abu Sufian Ibn Harb.   

Pada awalnya, Rasulullah SAW mengambil keputusan bertahan dan menanti musuh di kota Madinah kerana mengetahui musuh yang bakal menyerang terlalu ramai. Namun, berdasarkan kepada mesyuarat yang mengambil kira kepada taktik peperangan yang mana elok musuh diserang di medan perang, Rasulullah SAW bersetuju untuk keluar ke medan perang, sekalipun dalam hatinya terasa kurang tepat. Ini bertepatan dengan konsep yang diamalkan Rasulullah SAW iaitu menggunakan keputusan mesyuarat.

Rasulullah SAW lalu masuk ke dalam rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Setelah Rasulullah SAW keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk menyerang tadi, membuat keputusan sebaliknya. Mereka merasakan cadangan Rasulullah SAW itu betul. Namun, Rasulullah berpegang kepada keputusan mesyuarat.

Malah Nabi berkata: "Tidak, kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali sebelum perang selesai."

Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum Muslimin di Bukit Uhud pada waktu subuh. Segera Nabi SAW mengatur strategi perang. Rasulullah SAW telah menyusun taktik dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh. 

Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh Bukit Ainain. Seramai 50 orang diarahkan menjaga celah bukit dari belakang diketuai oleh Ibnu Zubair, dengan perintah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.

Tiba tiba kedengaranlah sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Segera mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh Khalid Al-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap kirinya.

Seorang musuh berunta maju sampai tiga kali menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair sebagai harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dijatuhkan ke tanah, lalu ditikam dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat segera bermula dengan dahsyat.

Arta pemegang panji panji musuh, gugur di tangan Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dengan Zubair. Setelah Sibak tewas menyusul Jubair bin Mutim menghadapi Hamzah, untuk membalas dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan bapa saudaranya di medan Perang Badar.  

Tiba gelaran Jubair berhadapan dengan Hamzah. Tetapi dia takut untuk berdepan dengan Hamzah. Lalu diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak ini dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.

Dengan menyeludup di balik belukar dari belakang Hamzah, dengan mengunakan tombak, Hamzah dapat ditikamnya sehingga syahid di saat itu juga.

Pertempuran hebat berlaku di sekitar panji panji. Berpuluh puluh musuh tewas di sekitar panji panji itu, bersama dengan panji panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.

Melihat musuh lari tunggang langgang, tentera yang lima puluh orang yang ditugaskan menjaga celah bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak. Zubair mengarahkan agar mereka kembali, tapi tidak dipedulikan. Hanya 14 orang pemanah kekal di atas bukit. 

Melihat tempat pertahanan yang strategik itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Al-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan itu. Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas dipijak kuda Khalid.  

Panji panji Quraisy yang sudah jatuh itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah bernama Umarah binti Alkamah.

Tentera Islam menjadi kacau bilau. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar  Rasulullah sendiri terkena batu yang dilontar tentera Quraiys sehingga luka parah dan patah giginya.

Ketika pertempuran terus berlangsung, Nabi SAW terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah terkorban.

Ali dan Talhah segera menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh sebagai singa yang lapar layaknya. Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja.

Badan Abu Dujanah penuh luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi SAW tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke muka menikam setiap musuh yang menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu Umarah namanya.

Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan Nabi SAW sudah terkorban itu, terus tersebar di medan pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat pertempurannya menjadi kendur seketika.   

Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada mereka: "Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"

Sebagai teladan, dia segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari jarinya putus kena pedang musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati matian menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.

Selepas pertempuran hebat, kebanyakan tentera Muslim berjaya berundur ke Uhud di mana mereka berkumpul semula. Menaiki kuda, pasukan Quraisy gagal mendaki lereng bukit dan kehilangan kelebihan serangan mengejut mereka. Perang ini berakhir apabila Abu Sufyan membuat keputusan tidak mengejar lanjut tentera Muslim, mengisytiharkan kemenangan. 

Bilangan tentera Islam yang terbunuh dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang. 

Sehabis perang Uhud itu kekejaman musuh semakin bertambah juga. Jenazah jenazah tentera Islam yang bergelimpangan di medan perang, mereka koyak koyak dan hinakan. Hindun telah membelah dada Saidina Hamzah dan rentap hatinya lalu mengunyahnya kemudian diludahnya.  

Nabi Muhammad berasa amat sedih dan memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang mereka pakai ketika berperang.

Dengan kekalahan di pihak Islam, orang Yahudi mula berkira-kira ingin berkerjasama dengan Quraiys untuk menghancurkan umat Islam. Mereka melanggar janji yang telah dibuat sebelum ini dengan Rasulullah SAW untuk saling membantu. 

No comments:

Post a Comment