Sunday 21 October 2018

MITOS DAN REALITI MINUM ALKOHOL


Alkohol sinonim dengan arak atau minuman keras, selalunya diminum ketika bersosial atau digunakan untuk mempertingkatkan 'mood'. Ia juga boleh mengakibatkan ketagihan jika selalu diminum. Minuman beralkohol terdapat dalam pelbagai bentuk termasuk bir, wain, brandi dan wiski. 

Kesan arak terhadap badan? Ia memperlahankan fungsi sistem saraf pusat. Mengubah persepsi, emosi, pergerakan, penglihatan, dan pendengaran seseorang.

Apakah faktor-faktor risiko bagi seseorang untuk minum berlebihan? Faktor persekitaran contohnya mudah didapati, tidak mahal dan pengiklanan yang menarik di media. Manakala faktor sosial pula seperti pengaruh rakan sebaya, latarbelakang keluarga, pengaruh idola atau orang-orang yang terkenal dan budaya. 

Manakala faktor biologi pula ialah keturunan, personaliti (contohnya: impulsif, mudah gelabah/terangsang). Terdapat mitos dan realiti berkaitan kegunaan arak. 

Antaranya, penggunaan alkohol dikatakan membuat seseorang individu berasa seperti dewasa. Sedangkan sebenarnya, remaja yang tidak mengambil alkohol adalah lebih matang dan dapat berfikir secara rasional. Mereka juga kurang bermasalah. 

Perkara lain dikatakan arak memudahkan mereka mendapat ramai kawan dan diterima sebagai sebahagian dari kumpulan tersebut. Hakikat sebenarnya, rakan yang tidak mengambil alkohol boleh lebih dipercayai dan merupakan kawan yang sentiasa mengambil berat. Perhubungan antara kawan juga lebih sihat tanpa penggunaan alkohol.

Alasan lain minum arak ialah membuatkan seseorang itu nampak "cool" dan berjaya. Sebenarnya, arak mengakibatkan mabuk, yang mana ini jelas tidak "cool" dan juga berbahaya. 

Alasan lain, arak menghilangkan rasa bosan dan memberi keseronokan. Sebenarnya kegembiraan adalah lebih nikmat apabila seseorang itu mengambil bahagian dalam aktiviti sihat dan tidak mabuk.

Kegembiraan di bawah pengaruh alkohol tidak bertahan lama dan mudah dilupakan. Remaja juga mempunyai tanggungjawab yang penting. Malahan, alkohol boleh mengakibatkan ketagihan hingga ke peringkat dewasa. Memulakan aktiviti sihat pada usia yang muda menjadikan seseorang itu lebih baik dan sihat apabila dewasa kelak. 

Alkohol dapat membantu melepaskan anda dari permasalahan dalam hidup. Menghilangkan masalah melalui penggunaan alkohol merupakan penyelesaian jangka pendek sahaja. 

Menggunakan alkohol sebagai cara untuk menangani masalah adalah tidak benar. Penggunaannya akan menimbulkan lebih banyak masalah dalam jangka pendek dan panjang. 

No comments:

Post a Comment