Sunday 21 October 2018

ARAK MUSNAHKAN NIKMAT HIDUP

Islam mengharamkan meminum arak kerana ia bahan yang memabukkan. Sesungguhnya semua bahan yang memabukkan atau menghilangkan fungsi otak (biarpun sementara) adalah diharamkan. Pengharaman itu membabitkan pengambilan sama ada melalui mulut (makan, minum atau sedut) serta cara lain seperti suntikan.

Jenis arak yang diharamkan meliputi semua jenis sama ada yang dibuat secara kimia yang diproses segera memasukkan unsur alkohol di dalam air biasa, atau yang diproses secara biologi (diperam atau dibiarkan lama) yang menukarkan sifat sesuatu bahan kepada bersifat memabukkan. 

Arak dari jenis biologi ialah air tapai beras, nira kelapa, nira nipah, perahan anggur dan pelbagai jenis perahan buah-buahan lain. Asalnya air itu harus diminum, tetapi bertukar menjadi haram apabila sifatnya bertukar menjadi sesuatu yang boleh memabukkan.   

Para ulama mengambil ketetapan mengatakan arak yang diharamkan tidak kira bagaimana ia dibuat atau dihasilkan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan itu adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim)

Biarpun arak hanya memabukkan jika diminum dengan kuantiti yang banyak atau ada individu yang sukar mabuk disebabkan sudah lali, ia tidak mengubah hukum haram meminum arak biarpun sedikit, hatta setitik.

Setiap yang haram tetap haram biarpun dalam kuantiti sedikit. Seperti mana berjudi tetap haram sekalipun hanya bertaruh beberapa ringgit. Begitu juga tetap haram menerima rasuah yang bersifat secawan kopi.

Jadi, tidak ada alasan untuk mengatakan tidak haram minum arak jika diminum sedikit sahaja atau selagi tidak mabuk. Islam menegah sesuatu perbuatan yang mendatangkan keburukan biarpun keburukan itu belum berlaku. Langkah itu adalah bertujuan mencegahnya secara keseluruhan dan memberi peringatan supaya menjauhkan dalam keadaan apa sekalipun.

Perkara ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apa saja yang memabukkan, maka pada sedikitnya juga adalah haram.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mencegah dari awal adalah langkah terbaik untuk tidak terlibat dengan pengaruh arak. Orang Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya pasti akan menjauhkan semua perkara yang ditegah. Perkara ini dapat kita ambil iktibar bagaimana para sahabat Rasulullah boleh berhenti tabit minum arak disebabkan mematuhi perintah agama.

Orang Arab Jahiliyah sebelum kedatangan Islam menjadikan arak satu keperluan harian. Mereka menganggap arak tonik yang memberi banyak keistimewaan hingga mendorong melakukan pelbagai tindakan yang tidak mungkin dilakukan semasa dalam keadaan normal.

Meminum arak juga dijadikan lambang status yang mana hanya golongan berada dapat menikmati hidangan yang menjadi kemegahan itu. Mereka minum pada awal pagi sebagai meraikan ketibaan hari baru yang bakal berdepan dengan cabaran hidup baru, dan pada sebelum petang atau awal malam pula mereka minum untuk menyatakan kegembiraan sepanjang hari dan melupakan segala masalah atau penat pada siang hari. 

Malah, masyarakat Arab Jahiliyah menganggap arak sebagai ubat dalam menangani beberapa gejala penyakit. Sebab itu, pada peringkat awal ada individu yang baru memeluk Islam cuba memberitahu Rasulullah SAW dengan mengatakan arak adalah ubat.

Namun Rasulullah SAW menyatakan sebaliknya dengan bersabda yang bermaksud: “Ia bukan ubat, bahkan arak sebenarnya punca kepada penyakit.” (Hadis riwayat Muslim). Dalam hadis lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan ubat pada sesuatu yang diharamkan ke atasmu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Disebabkan betapa kuatnya ‘kuasa’ arak dalam masyarakat Arab Jahiliyah, maka Islam tidak terus mengharamkan arak kepada mereka yang baru memeluk Islam pada ketika itu. 

Kata-kata Aisyah, isteri Rasulullah SAW yang dipetik oleh Imam Bukhari iaitu: "Sekiranya al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata; "tidak, kami tidak akan patuh."

“Al-Quran terus menyampaikan ke dalam hati mereka rasa takut dan kasih kepada Allah. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan taman indah bagi sesiapa yang patuh, seksaan api neraka bagi yang ingkar sehingga hati mereka menjadi lembut, selepas itu mereka diperintahkan berhenti daripada meminum arak, melakukan perzinaan dan berjudi dan mereka mematuhinya.”

Orang Islam mula bertanyakan perihal arak seperti dinyatakan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu khamar (arak) dan judi. Katakanlah pada keduanya dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya."

Ayat itu menjelaskan kedudukan arak yang sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Ia sekaligus menyangkal dakwaan masyarakat Arab Jahiliyah yang mengatakan arak mempunyai banyak kebaikan.

Langkah seterusnya dalam pengharaman arak ialah menegah meminum arak sebelum menunaikan sembahyang. Ia lanjutan peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan." (Surah an-Nisa, ayat 43).

Dengan kata lain, pada masa itu arak belum diharamkan sepenuhnya, kecuali ketika hampir waktu hendak mendirikan sembahyang. Ternyata perintah yang berperingkat-peringkat itu memberi banyak hikmah.  Jika larangan secara keseluruhan dibuat serentak, sudah pasti mereka tidak mampu mematuhinya.

Mereka yang sudah biasa dengan pengaruh arak tidak mampu untuk bertahan lama tanpa meminum arak. Parkara yang sama berlaku di kalangan penagih dadah.  Mereka perlu berhenti secara perlahan-lahan dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menjayakannya.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan selepas kejadian dalam satu majlis jamuan yang mana arak menjadi salah satu bahan hidangan. Apabila banyak yang mabuk, berlakulah pergaduhan sesama sendiri.

Selepas peristiwa itu maka turunlah ayat 91 surah al-Maidah yang bermaksud: "Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (daripada melakukan perbuatan itu)"

Jelas sekali arak mesti dijauhi biar apa alasan sekalipun. Jika ia dikaitkan dengan ubat, masih banyak lagi perkara yang baik dan bersih dapat digunakan untuk dijadikan ubat. Mengapa kita mesti terpedaya dengan hasutan syaitan yang ingin menyesatkan manusia supaya tinggal bersma-samanya di dalam neraka di akhirat nanti.

Masyarakat Arab Jahiliyah yang menganut Islam dapat mengubah cara hidup yang dikuasai dengan arak kepada bebas arak semata-mata kerana mematuhi perintah Allah. Justeru, umat Islam sekarang tidak ada alasan untuk mengatakan mengapa perlu mengambil minuman haram itu.

No comments:

Post a Comment