Sunday 21 October 2018

SEMUA JENIS ARAK HARAM

Umat Islam perlu mengelak daripada minuman atau makanan yang beralkohol. Para ulama mengambil ketetapan mengatakan arak yang diharamkan tidak kira bagaimana ia dibuat atau dihasilkan. 

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan itu adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim)

Unsur beralkohol biasa digunakan sebagai bumbu (rempah ratus) masakan. Jenis bahan ini banyak digunakan dalam campuran masakan Barat daripada masakan oriental seperti Cina, Jepun dan Korea.

Penggunaan minuman beralkohol dalam kuih bertujuan memberikan rasa dan aroma tertentu. Penggunaan minuman beralkohol sebagai campuran makanan dan minuman cukup luas dalam pelbagai bentuk yang sering tidak disedari oleh pengguna.

Menurut peraturan syarak, semua bahan yang memabukkan adalah haram biarpun dalam jumlah yang sedikit. Hukum itu memberi satu gambaran bahawa apa saja mendatangkan keburukan mesti dijauhi.  Arak bukan saja memabukkan, malah boleh menyebabkan kematian.

Minuman beralkohol diproses dengan cara pemeraman dari bahan yang mengandungi pati atau gula yang tinggi. Bahan itu hukumnya asalnya boleh dimakan, tetapi setelah melalui pemeraman pada tahap tertentu, maka ia bertukar menjadi haram. 

Antara bahan yang diperam untuk menghasilkan minuman beralkohol ialah bijian seperti jagung, beras, gandum, dan barli, ubi seperti kentang dan ubi kayu, buah-buahan seperti anggur, epal juga tanaman seperti kelapa, nipah, gula tebu daripada gula bit serta molases.

Jenis minuman beralkohol ialah wain dan brandi yang dibuat dari buah anggur. Dari jus epal dapat dibuat minuman cider. Penggunaan istilah cider berbeza-beza mengikut negara. Jadi, kita perlu berhati-hati sama ada ia termasuk dalam istilah beralkohol atau tidak.

Di Amerika dan Kanada, cider atau sweet cider adalah istilah untuk jus epal yang tidak difermentasikan yang tidak termasuk dikategorikan arak. Sedangkan jus epal yang difermetasikan disebut hard cider.

Di United Kingdom istilah cider selalu digunakan untuk minuman beralkohol. Tetapi di Australia, istilah cider digunakan untuk produk beralkohol. Hasil cider yang melalui proses seterusnya bertukar menjadi cuka dan halal dimakan.

Arak (bir) secara umum dibuat daripada barli. Tetapi dapat juga dibuat daripada campuran pelbagai jenis biji-bijian. Minuman beralkohol yang dibuat daripada campuran beberapa jenis bijian dikenali dengan nama wiski. Jenis wiski seperti scoth, rye dan bourbon digunakan dengan tambahan bijian adalah barli dan kadang-kala oat.

Proses pemeraman (mengikut kaedah tertentu) akan menghasilkan produk berbeza-beza. Nira (kelapa, nipah dan sebagainya) yang dbiarkan beberapa lama akan bertukar masam (tuak) yang boleh memabukkan. Pada peringkat itu ia haram diminum. Bagaimana, setelah melalui pemeraman seterusnya, ia akan bertukar menjadi cuka pula yang halal dimakam atau digunakan.

Lamanya proses fermantasi (pemeraman) bergantung kepada bahan dan jenis produk dihasilkan. Proses pemeraman singkat berlaku sekitar satu dua minggu dapat menghasilkan produk dengan kandungan etanol 3-8 peratus, contohnya seperti arak.

Bagi pembuatan wain mengalami proses pemeraman lebih panjang hingga mencapai waktu berbulan-bulan atau juga bertahun-tahun lamanya dengan kandungan etanol sekitar 7-18 peratus.

Kandungan etanol yang dihasilkan dalam pemeraman minuman beralkohol biasanya berkisar sekitar 18 peratus kerana pada umumnya khamar tidak dapat hidup pada lingkungan dengan kandungan etanol di atas 18 peratus.

Dengan mengenali jenis minuman beralkohol seperti di atas itu, diharapkan pengguna Muslim menghindari atau mengelakkan diri daripada menggunanya kerana ia jelas ditegah syarak.

Kajian ilmiah sama ada dari segi sains perubatan, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan banyak bahaya arak. Jadi, tidak ada alasan peminat arak hendak berhujah mengatakan arak mempunyai banyak kebaikan. 

Sebab itu perbuatan meminum arak bukan sahaja diharamkan di dalam Islam, bahkan menjadi perbuatan yang dianggap tidak bermoral dan dijauhi oleh penganut setia agama lain. 

Individu yang berfikiran rasional sekali-kali tidak akan mengamalkan mengambil arak biarpun pegangan agama mereka tidak mengharamkan. Perhatikan di kalangan orang yang berjaya di mana didapati mereka bebas arak.

Keburukan yang lahir disebabkan meminum arak ada yang bersifat sementara dan untuk tempoh yang lama ia memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pengaruh arak meyebabkan fikiran tidak berfungsi dengan baik sehinggalah pengaruh arak atau alkohol hilang dari badan.

Ketika otak dipengaruhi arak, individu yang berkenaan berkedudukan lebih hina daripada haiwan, kerana mereka tidak lagi kenal diri sendiri dan tidak mampu mengawal fungsi badan sehingga berjalan pun tidak mampu dilakukan dengan betul. 

Banyak kes pergaduhan yang tidak dapat dikawal oleh kewarasan fikiran biarpun perkara kecil berpunca pengaruh arak. Banyak kerugian harta benda dan ada kes sehinggga menyebabkan kematian disebabkan pergaduhan yang berlaku itu.

Begitu juga, pemandu yang di bawah pengaruh arak banyak yang terlibat dengan kemalangan jalan raya. Minda mereka tidak dapat berfungsi dengan sempurna, melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Banyak penagih arak akan berdepan dengan barah usus, selain yang berkaitan dengan darah dan penyakit lumpuh. Penyakit paling ketara dihadapi penagih arak adalah yang berkaitan dengan otak seperti barah otak, kurang daya ingatan dan daya pemikiran yang lemah.

Khalifah Usman Affan pernah berkata: “Jauhkan diri kamu daripada khamar (benda yang memabukkan), sesungguhnya khamar itu ibu segala kerosakan.”

Jauhi amalan meminum arak yang diharamkan dalam Islam.  Setiap sesuatu yang diharamkan Allah pastinya bersifat membinasakan. Siapakah yang lebih mengetahui mengenai keperluan manusia, selain Allah yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini. 

Jadi, patuhilah perintah Allah yang mengharamkan arak. Perbuatan meminum arak menyebabkan peminumnya diharamkan memasuki syurga.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tiga orang tidak masuk syurga (iaitu) penagih arak, orang yang membenarkan sihir dan orang yang memutuskan persaudaraan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hibban).

Langkah untuk mengelak diri terjebak arak ialah jangan sekali-kali mencubanya dan menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang menghidangkan arak. Banyak individu yang terpengaruh dengan arak disebabkan sentiasa menghadirkan diri di tempat yang terhidang minuman arak dan bergaul dengan kaki arak.

Mula-mula mungkin mencuba untuk mengetahui kesannya atau terpengaruh dengan ajakan kawan.  Sedangkan, itulah sebenarnya perangkap awal yang sukar untuk melepaskan diri. Biarpun diketahui rasa arak tidak sedap (bagi mereka yang pertama kali), tetapi setelah ia mula mengalir ke segenap urat nadi dan mula mempengaruhi fikiran, rasa yang tidak sedap bertukar sebaliknya. 

No comments:

Post a Comment