Sunday 28 October 2018

SERONOK CABUT ANAK BENIH PADI

Masa dahulu, kanak-kanak membesar secara mesra alam. Hidup dalam lingkungan budaya dan pekerjaan masyarakat setempat. Anak-anak akan turut membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja mengikut kemampuan masing-masing.

Kalau ayah menjadi pesawah, maka anak juga akan turut turun ke sawah. Mempelajari apa yang dilakukan oleh ayah dan ibu di bendang. Penglibatan anak bukan semata-mata untuk menjadikan atau mewarisi pekerjaan sebagai petani, tetapi lebih kepada membantu dan melatih anak erti kehidupan.

Antara kerja di bendang yang biasa turut dilakukan anak ialah mencabut anak padi (semai) yang sudah cukup umur (tempoh) yang akan dipindahkan ke tempat lain. Pada masa dahulu, benih padi diletakkan di dalam guni dan kemudian direndam selama tiga hari di dalam air agar cepat bercambah.

Benih padi yang telah 'pecah' bercambah akan ditaburkan di tempat atau petak sawah yang berhampiran dengan rumah. Apabila anak padi telah membesar kira-kira setinggi kira-kira 30cm hingga 40cm, ia perlu dicabut untuk dipindahkan ke tempat lain.

Yang melakukan tugas mencabut benih padi biasa dilakukan oleh wanita kerana tidak memerlukan banyak tenaga dan kedudukan hampir dengan rumah. Maka sebab itu, kanak-kanak juga turut membantu. Mereka sebenarnya bukan serius sangat hendak mencabut benih padi, tetapi lebih kepada suka-suka untuk bermain selut dan lumpur.

Benih padi yang dicabut akan diikat menjadi 'uting' atau 'uti' atau 'cap'. Benih padi yang dikat akan kelihatan seperti bentuk kon. Bahagian bawah lebih besar kerana mengandungi akar dan mengecil di bahagian atas. Satu uting biasanya berukuran kira-kira bergaris pusat kira-kira 30 cm. Tali untuk mengikat biasanya dibuat dari kulit batang bemban.

Benih padi yang telah dicabut dan ikat menjadi uting akan dipindahkan tapak sawah. Di sinilah pula aktiviti mencedung dilakukan. Bahagian akar anak padi akan dicedung atau dibenamkan ke dalam lumpur atau selut yang lembut.

Proses mencedung biasanya menggunakan kaki kambing bagi memudahkan akar anak padi dimasukkan ke dalam tanah. Namun, dalam keadaan tanah yang sudah lembut atau berlumpur tebal, biasanya hanya hanya menggunakan tangan. Anak benih padi akan ditanam mengikut baris lurus dengan jarak kira-kira 20 cm hingga 30 cm di antara baris.

No comments:

Post a Comment