Sunday 28 October 2018

JENIS PENYU SEMAKIN PUPUS

Penyu merupakan antara spesies haiwan yang terancam kepupusan sekiranya tidak dijaga dengan baik.

Perkara penting untuk pemuliharaan penyu ialah memberikan pendidikan kepada masyarakat dunia, menjaga habitatnya daripada terganggu dan ancaman semasa penghijrahan mereka.

Ada dua kumpulan spesies penyu terancam ini iaitu yang dipanggil sebagai tuntung dan penyu. Kumpulan tuntung hidup di kawasan sungai, manakala penyu di laut. Selalunya apabila kita berbicara tentang penyu kita selalu merujuk kepada penyu laut yang berhijrah jauh dari negara lain dan bertelur di beberapa tempat di Malaysia.

Terdapat banyak jenis penyu. Namun yang terkenal di Malaysia terdapat empat jenis.

Penyu Belimbing
Penyu Belimbing ialah spesies penyu yang terbesar di antara jenis-jenis penyu yang terdapat di dunia. Kini spesies penyu ini semakin kepupusan. Inilah satu-satunya jenis penyu yang tidak bertempurung keras, di mana karapasnya ( cengkerang) adalah lembut dengan mempunyai tujuh jaluran panjang yang memanjang dari bahagian kepala hingga ke ekor. Ia boleh membesar sepanjang 2 meter dan mencapai berat sehingga 600kg. 

Penyu ini menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di dalam laut lepas dan berkebolehan untuk menyelam sedalam 400m hingga 1,200m. Penyu ini mudah dikenali kerana cengkerangnya yang menyerupai seperti buah belimbing. Warna badannya adalah kehitaman dan bertompok-tompok putih. 

Bahagian atas mulutnya yang melengkung adalah untuk memudahkannya menangkap obor-obor yang merupakan makanan utamanya. Ianya menghasilkan telur antara 60 – 120 biji pada suatu masa. Musim bertelurnya adalah Mac hingga Ogos. 

Di Malaysia , tempat utama penyu ini naik ke pantai untuk bertelur adalah di Rantau Abang, Terengganu dan terdapat juga Paka, Pahang untuk bertelur. Telurnya berwarna putih dan berkulit lembik dengan ukuran garispusat 5 – 6.5 sm.

Penyu Agar
Penyu Agar juga dikenali sebagai " penyu hijau " mengikut warna lemak dalam badannya yang berwarna hijau. Warna penyu ini adalah coklat buah zaitun atau coklat tua atau kehitaman. Penyu ini boleh membesar sehingga lebih 1 meter dengan berat badannya di antara 135 – 270 kg. 

Makanan utamanya adalah rumpai laut dan rumpair. Musim bertelurnya adalah di antara April – September dan menghasilkan 100 – 140 biji setiap kali bertelur. Penyu ini terdapat di Negeri Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dan berkulit lembik dengan ukuran garispusat lebihkurang 5.0 sm.

Penyu Karah / Sisik
Penyu ini juga dikenali sebagai penyu sisik. Ianya mempunyai karapas yang keras dan nampak seperti sisik-sisik yang bertindih. Warna badannya adalah coklat , bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70 – 90 sm dengan berat badannya di antara 35 – 75 kg. Bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang. 

Makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan terumbu karang. Spesies penyu ini kebanyakannnya terdapat di kawasan terumbu karang .Musim bertelurnya adalah Mac – Jun dengan purata bertelur sehingga 130 biji. Penyu ini terdapat di negeri Terengganu, Pahang, Melaka , Johor, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dengan kulit yang lembik dan berukuran garispusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Lipas
Penyu lipas adalah penyu yang terkecil di antara empat jenis penyu yang terdapat di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga 6.0 – 6.5 sm dengan berat yang biasanya di antara 35 – 50 kg. Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih. Makanan utamanya adalah udang,obor-obor, ketam dan siput. 

Musim bertelurnya adalah dari Mac – Jun dan menghasilkan purata telur 100 biji setiap kali bertelur. Telurnya adalah berwarna putih , berkulit lembik dan bergarispusat lebihkurang 4.0 sm. Penyu ini terdapat di Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Kini bilangan spesies penyu ini yang mendarat untuk bertelur di pantai-pantai Malaysia adalah semakin berkurangan dan diancam kepupusan.

No comments:

Post a Comment