Monday 18 February 2019

PADAH INGKAR PERJANJIAN DAMAI


Bani Quraizah salah satu kabilah Yahudi yang mengadakan perjanjian damai dan saling membantu dengan umat Islam di Madinah. Antara kandungan perjanjian ialah jika mana-mana pihak diserang musuh, mereka akan akan saling membantu dan tidak akan belot.

Namun perkara sebaliknya berlaku apabila Madinah diserang oleh gabungan tentera yang diketuai oleh Quraish Makkah. Selain disertai pihak Quraish, pihak gabungan turut disertai beberapa kabilah Yahudi yang belot atau tidak mematuhi perjanjian damai.

Peperangan yang berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah itu di kenali Perang Khandak. Peperangan ini dikenali sebagai Khandak atau parit kerana umat Islam telah bersatu tenaga menggali parit di sekeliling Madinah bagi menghalang orang-orang Kafir menyerang umat Islam dengan mudah.

Peperangan ini berpunca dari hasutan kaum Bani Nadir. Mereka berpakat dengan kaum Quraish Makkah untuk menyerang orang-orang Islam Madinah.

Pakatan di kalangan kaum suku-suku Yahudi dan tentera Quraish Makkah ini menyebabkan perang Khandak dikenali juga sebagai perang Ahzab yang bermaksud bersekutu atau gabungan.

Pada peringkat awal peperangan, Bani Quraizah yang tinggal di bahagian selatan Madinah masih berpegang dengan perjanjian biarpun telah dipujuk untuk menyertai pasukan gabungan.

Namun, setelah perang berlarutan dan ada tanda-tanda kekalahan di pihak Islam, Bani Quraizah mula goyah dan terpengaruh dengan pujukan pihak gabungan agar menyertai mereka.   

Sikap Bani Quraizah yang belot diketahui Rasulullah. Biarpun dipujuk untuk kekal mempertahankan Madinah, Bani Quraizah terus kekal dalam keputusan menyertai tentera gabungan.

Namun, pihak gabungan yang berada di luar Madinah tidak mampu untuk memasuki dan mengalahkan tentera Islam, tidak mampu lagi bertahan apabila kekurangan makanan serta keadaan tentera yang semakin lemah, mengambil keputusan meninggalkan kepungan.

Pengunduran tentera gabungan bermakna Bani Quraizah yang belot telah tinggal bersendirian. Orang Islam mengepung penempatan Bani Quraizah yang terletak di selatan Madinah. Bani Quraizah menyerah kalah dan kubu kuat serta harta mereka dirampas oleh orang Islam.  

Semasa dibawa untuk diadili, Quraizah memohon agar diadili oleh Bani Aws, sekutu lama mereka. Nabi Muhammad melantik ketua Aws, Saad ibn Muadh, sebagai hakim.

Saad, yang tercedera semasa pertempuran, menghakimi Quraizah mengikut lunas-lunas agama yang mereka anuti, yakni mengikut undang-undang Taurat.

Hasil dari itu, hukuman yang dijatuhkan terhadap Quraizah ialah hukuman bunuh bagi orang lelaki sementara kaum wanita dan kanak-kanak Quraizah diambil sebagai hamba abdi.

Nabi Muhammad memepersetujui keputusan ini dan hukuman dijalankan pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment