Monday 18 February 2019

Kampung Kedai Lalat kini dikenali Kota Jembal

Kota Jembal adalah nama baru bagi Kedai Lalat. Penukaran nama Kampung Kedai Lalat kepada Kota Jembal adalah berdasarkan sejarah bahawa tempat itu menjadi lokasi pemerintahan terawal Kelantan. Sekolah Menengah Kedai Lalat ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti. 

Kerajaan Jembal asalnya diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah dalam abad ke-14. 
 
Baginda Raja Bersiung dihalau oleh adinda baginda yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan diri ke Kelantan.

Mengikut ringkasan "Cetera Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik Ismail (Dato' Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama.

Kenyataan ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).

Raja Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka.  

Di situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu baginda menamakan tempat itu Jembal.

Baginda Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. 
 
Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan.

Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan. Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya.

Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu. 

Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu.

Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1.

No comments:

Post a Comment