Monday, 29 July 2019

HORMATI HAK TEMPAT LETAK KENDERAAN OKU

Diakui tempat letak kenderaan agak terhad. Kalau adapun perlu berjalan jauh ke tempat untuk berurusan.

Justeru, pihak yang mengendalikan tempat letak kereta disyaratkan menyediakan tempat letak kenderaan khas kepada pemandu golongan orang kelainan upaya (OKU).

Petak tempat letak kenderaan bagi OKU adalah paling dekat dengan bangunan atau tempat untuk berurusan.

Untuk mengenali petak tempat letak kenderaan bagi OKU tidak sukar kerana ada diletakkan papan tanda dan pada petak itu pula dilukiskan gambar orang berada di atas kerusi roda.

Petak itu dikhaskan hanya untuk pemandu OKU. Jika OKU hanya sebagai penumpang, kenderaan yang dinaiki itu tidak boleh diletakkan di petak itu, melainkan sekadar untuk menurunkan penumpang OKU itu sahaja.

Peraturan ini diguna pakai kepada semua jenis kenderaan atau milik sesiapa pun, termasuk kenderaan yang dinaiki atau dimiliki oleh menteri atau pemimpin negara.

Larangan juga terpakai kepada kenderaan jabatan seperti polis, ambulan atau bomba, melainkan atas maksud 'kecemasan' ketika melakukan tugas.

Jadi, siapa pun anda sebagai pemandu atau pemilki kenderaan adalah tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di petak yang dikhaskan untuk pemandu OKU, melainkan anda adalah OKU yang memandu kenderaan itu.

Sesiapa yang sempurna sifatnya, jika meletakkan kenderaan di petak dikhaskan kepada pemandu OKU, maka orang itu layak dikategorikan sebagai OKU mental. Gelaran itu diberikan untuk melayakkan dia meletakkan kenderaan di tempat itu.

Hormatilah hak OKU dan peraturan yang ditetapkan jika ingin hak dan diri kita dihormati orang lain. 

Gambar - Mungkin pemandu kenderaan ini adalah OKU. Bersangka baik. Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment