Tuesday 14 February 2023

MANGSA MERCUN SESAL SEUMUR HIDUP

Hanya mangsa yang cedera akan insaf dan serik untuk bermain mercun. Kecacatan yang dialami kekal sepanjang hayat. Perasaan menyesal menguasai diri. Kegembiraan yang diharapkan, derita yang ditanggung.

“Saya dah serik dan nasihatkan jangan bermain mercun, kerana ia akan menyebabkan kita menanggung sesalan seumur hidup," kata mangsa letupan mercun Aziz Abu.  

Aziz hilang empat jari tangan kanan, akibat terkena serpihan mercun bola yang diubah suai bersama rakannya ketika menyalakan bahan letupan itu di kawasan lapang. 

Pihak media massa sentiasa menghebahkan bahaya bermain mercun dengan memaparkan mangsa yang menjadi buta, jari jemari hancur dan tangan terpaksa dipotong, yang akhirnya mangsa kekal cacat seumur hidup, namun masih lagi kedengaran letupan mercun di sana sini.

Selain mercun buatan sendiri, mercun bola sudah banyak mencederakan mangsanya kerana pemainnya mengemari kerana bunyi yang kuat dan mudah didapati yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Memandangkan kanak-kanak dan remaja begitu ramai bermain dengan bahan letupan yang menjadi bahan larangan oleh kerajaan, persoalannya sejauhmana tanggungjawab ibu bapa dalam mengawasi anak-anak daripada bermain mercun?.

Bagaimana pula dengan masyarakat sekeliling, sudah hilangkah amalan tegur menegur, nasihat menasihati anak-anak sekampung dan setaman perumahan, agar jangan bermain dengan mercun?

Sedang umat Islam khusyuk menunaikan ibadat tarawih selepas berbuka puasa, dilihat menjadi kebiasaan ketenangan solat diganggu bunyi letupan mercun yang dimainkan kanak-kanak yang sudah menjadi tabiat mereka berkumpul di luar surau semasa golongan dewasa menunaikan solat.

Bagi pihak yang prihatin, nasihati mereka bagaikan "masuk telinga kanan keluar telinga kiri" kerana kes yang bertali arus.

Seorang tokoh masyarakat, bimbang dengan peningkatan bilangan mangsa, menasihati ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka membeli dan bermain mercun terutama pada musim perayaan ini.

Beliau berkata bermain bahan letupan berbahaya itu bukan budaya Melayu dan boleh menyebabkan kecederaan dan maut.

"Anggota badan kita ni amanah Allah, jangan bagi jadi kudung tak pasal-pasal. Oleh kerana budaya kita sekarang ni masih lagi (terikut-ikut) budaya penjajah tidak bertuan kepada Allah tetapi bertuankan kepada nafsu, maka kita masih lagi meneruskan budaya anak-anak kita membeli mercun.

"Nasihat saya, jangan bagi peluang sekali-kali kepada anak kita beli mercun. dia nak beli coklat beri, nak beli kuih bui (beri), nak beli baju raya pun bui, beli mercun jangan sekali-sekali," katanya. 

No comments:

Post a Comment