Friday, 20 January 2017

Cara atasi serangan pemikiran

Serangan pemikiran yang melanda umat Islam sekarang perlu dihalang atau dilakukan langkah-langkah komprehansif untuk mengekang kesan buruk serangan pemikiran itu. Cara atasi serangan pemikiran itu antara lain ialah:

Meningkatkan Jati Diri Umat Islam.

Keyakinan umat Islam terhadap kebenaran Islam perlu dipertingkatkan dan ditanam secara berterusan ke dalam diri setiap umat Islam. Mereka perlu diyakinkan bahawa tidak ada agama atau ajaran lain yang lebih baik atau boleh dijadikan panduan hidup. 

Apa yang terkandung di dalam ajaran Islam perlu dipatuhi dan dilakukan dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Sebarang bentuk cubaan pihak luar menerapkan pemikiran yang berlawanan dengan Islam perlu ditentang sepenuhnya. Penyebaran maklumat mengenai penyelewengan itu perlu dibuat agar umat Islam dalam berhati-hati dan menolak perkara itu.

Mewujudkan Amalan Kesederhanaan

Wujudnya penyelewengan dan tekanan hidup biasanya banyak dipengaruhi oleh perasaan melampau terhadap sesuatu perkara. Untuk mengatasi masalah tersebut ialah dengan mengamalkan kesederhanaan atau wasatiyyah yang meletakkan diri dalam keadaan lebih berimbang, tenang dan berfikiran waras. 

Dalam keadaan amalan sederhana, mereka tidak begitu menginginkan kehidupan yang secara dasarnya tidak mampu untuk dilakukan atau dihalang dilakukan. 

Umat Islam yang mengamalkan kesederhanaan tidak akan mudah terpengaruh dengan perkara yang bukan-bukan dan keterlaluan. Perasaan dan nafsu lebih terkawal tanpa terlibat dengan sesuatu yang keterlaluan. 

Umpamanya dalam mencari hiburan, mereka yang sederhana akan hanya menikmati hiburan yang tidak melalaikan dan tidak akan melakukan perbuatan untuk berhibur secara ekstrem dengan mengambil dadah dan sebagainya.

Begitu juga dalam persoalan pengurusan ekonomi secara sederhana akan membataskan kita daripada terpengaruh untuk melakukan perbuatan salah di sisi agama. Mereka tidak akan terpengaruh dengan pemikiran kafir yang menjadikan kekayaan sebagai matlamat hidup.  

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan, tetapi mestilah secara yang hak, tidak menindas, tidak menipu, menjauhi amalan riba dan tidak kedekut.

Memperbanyakkan Jumlah Bahan Bacaan Berasaskan Islam. 

Seperti telah dijelaskan, antara punca serangan pemikiran ialah melalui bahan bacaan dan medium penyebaran maklumat seperti internet yang disediakan oleh kafir. 

Maka, cara terbaik ialah umat Islam sendiri perlu menyediakan bahan bacaan secukupnya untuk keperluan umat Islam melalui penulisan yang berkualiti dan bertanggungjawab.  

Justeru, penyediaan buku-buku agama yang disediakan melalui JAKIM, YADIM dan seumpamanya diharapkan dapat menambahkan bilangan buku agama di pasaran. 

Satu perkembangan positif sekarang apabila semakin banyak majalah dan buku agama diterbitkan di negara kita. Antara majalah bulanan menyajikan bahan berunsur agama Islam ialah Al-Islam, Dewan Tamadun Islam, Akidah, Solusi dan sebagainya yang kadangkala terpaksa diulang cetak apabila permintaan melebihi penawaran sedia ada.

Mendedahkan Bentuk-bentuk Serangan Pemikiran Yang Dilakukan Musuh-musuh Islam.

Antara perangkap paling berkesan dilakukan musuh-musuh Islam ialah melakukan sesuatu bentu serangan yang tidak disedari. Untuk itu, pihak yang sedar perkara itu perlu secara mendedahkan hal-hal berkaitan untuk mengingatkan seluruh umat Islam agar tidak terperangkap dengan serangan pemikiran itu.  

Penyebaran mengenai serangan pemikiran ini perlu dijelaskan melalui penulisan, ceramah, kelas dan seumpamanya. Apa yang penting, maklumat mengenai serangan pemikiran ini difahami oleh orang Islam agar mereka dapat membezakan antara yang benar dan salah. Sesungguhnya, dalam keadaan sekarang, banyak umat Islam keliru dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka sehingga terikut-ikut dengan perancangan serangan pemikiran pihak musuh.

Sebarang bentuk serangan pemikiran perlu dipatahkan dengan bijaksakna dan tepat. Jika mereka menggunakan hujah dalam bentuk keilmuan, maka wajar juga perkara itu diperbetulkan dengan dalil-dalil keilmuan. Inilah perlunya kita mempunyai ilmuan yang setanding dengan kumpulan yang mencipta dan melakukan serangan pemikiran itu. 

Umat Islam seharusnya lebih peka dan mendalami mengenai Islam dan tidak menyerahkan hal ilmu itu kepada bukan Islam. Sesungguhnya mereka mengkaji Islam bukan kerana berminat terhadap Islam tertapi cuba mencari ruang dan peluang untuk menggunakan pengetahuan itu untuk menyerang kembali umat Islam. 

Amat malang sekali apabila umat Islam terpaksa menuntut ilmu mengenai hal ehwal Islam daripada bukan Islam yang lebih mengkaji dan mempelajari Islam. Sudah tentu biarpun yang diajar itu ada kebenarannya, tetapi pada masa yang masa akan terselit racun berbisa untuk memusnahkan Islam. 

No comments:

Post a Comment