Wednesday 25 October 2017

Menang sorak kampung tergadai

Kisah Pak Kaduk bernasib malang, menang sorak kampung tergadai wajar dijadikan pengajaran. Kisah bermula, di sebuah negeri di mana raja dan rakyat suka berjudi dengan sabung ayam. 

Pak Kaduk memiliki seekor ayam sabung handal. Apabila diketahui raja juga ingin menyabung ayam baginda, maka Pak Kaduk turut serta.

Apabila sampai di tempat sabung ayam, si raja yang telah mengenali Pak Kaduk terus menyapa dan bertanya khabar. Raja mengetahui ayam sabung Pak Kaduk handal, lalu baginda mengusulkan agar dilakukan pertukaran ayam sabung di antara mereka.

Setelah dipersiapkan ayam sabung masing-masing yang telah bertukar tangan itu, lalu kedua-dua ekor ayam itu telah dilepaskan ke gelanggang atau bong yang dikelilingi sekalian rakyat jelata menonton.

Ayam asal milik Pak Kaduk ternyata handal di tengah-tengah bong. Habis ayam asal raja yang kini telah menjadi milik Pak Kaduk ditaji. Pak Kaduk yang terlalu gembira telah lupa bahawa ayam miliknya telah bertukar tangan kepada raja.

Setelah ayam milik Pak Kaduk tewas dan mati, Pak Kaduk terus melompat kegembiraan kerana menyangka ayam yang mati itu milik raja. Namun, setelah disedarkan oleh jurubong atau pengadil sabung ayam bahawa ayamg yang mati itu sebenarnya milik Pak Kaduk setelah setuju ditukarkan dengan raja, maka Pak Kaduk berhenti bersorak dan mula meraung menyesal.

Tidak tertanggung penyesalan Pak Kaduk kerana bukan saja kalah pertarungan, tetapi kampung tempat tinggal turut tergadai. Sebelum perlawanan, Pak Kadok telah bersetuju menjadikan kampung halaman sebagai pertaruhan yang mana jika dia kalah, maka kampung itu akan jadi milik raja.

Itulah kisah pengajaran apabila kita menyerahkan hak kita kepada orang lain, dan bersorak kegembiraan apabila hak milik asal kita itu telah memberi kebaikan kepada pemilik baru dan pada masa sama kita pula menanggung kerugian.

Orang yang memiliki hak kita itu pula telah melakukan sesuka hati perbuatan kejam terhadap kita setelah memiliki hak yang asal milik kita. Kita bukan saja hilang hak, bahkan menjadi mangsa kepada kealpaan diri sendiri. Apa yang hilang sukar untuk ditebus kembalik. Menyesal tidak berguna lagi.

Jadi, sementara kita masih memiliki apa yang selama ini menjadi milik kita, hargai dan pertahankan hak itu.

Umpamanya kuasa politik dan pemerintahan yang dimiliki Melayu di negara ini perlu dipertahankan. Jangan dilepaskan kerana ada orang yang menawarkan sesuatu dianggap lebih baik dan hebat. Jangan kerana terpengaruh dengan janji-janji manis, kita sanggup menyerahkan hak yang selama ini kita miliki.

Jadikan pengajaran kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka untuk dijadikan tauladan. Sekali kalah dan hilang kuasa, Melayu hilang hak politik dan kuasa selama lebih 446 tahun.

No comments:

Post a Comment