Thursday 15 March 2018

Cerita kedai kopi ada pahit kelat manis

Pagi tadi saya minum seorang diri di kedai kopi Kuan atau lebih dikenali dengan kedai Pok Ya dalam kalangan kami sahaja. Nama Pok Ya sempena nama seorang bekas pekerja kedai tersebut yang amat rapat dengan kami.

Kedai ini diuruskan oleh keluarga berketurunan Cina sejak turun termurun. Pembancuh kopi adalah anak perempuan pemiliknya manakala cashier adalah suami anak perempuannya.

Walaupun hampir 10 tahun minum di kedai kopi tersebut saya tidak tahu nama anak perempuannya dan saya hanya memanggilnya Mek manakala suaminya yang menjadi cashier dipanggil Ahok.

Hanya mek seorang sahaja membancuh kopi. Ini kerana mahu memastikan rasa kopi tidak lari. Dan kerana itu pelanggan kena tunggu lama disebabkan Mek tidak menang tangan.

Kedai ini selalunya penuh. Ada yang sanggup menunggu untuk mendapatkan tempat duduk.

Semuanya kerana kopinya yang amat enak. Roti bakarnya boleh tahan manakala telur separuh masaknya masak sekata tidak menjadi keras.

Pelayan kedai kopi tersebut wanita Melayu, dari yang muda (baru habis sekolah) sehingga ke warga emas. Pelanggannya sama banyak Melayu dan Cina.

Pelayan kedai ini, Mek dan Ahok tahu apa citarasa saya. Kopi harus keras dan kurang manis.

Kakak pipi merah selalu memberitahu mek atau kawan-kawannya, “kopi hok ketua pemberita.”

Memang sengaja pagi ini saya tidak mencari teman minum kopi kerana saya mahu menikmati buku terbaharu tulisan penganalisisi politik Kelantan, MSO.

Disebabkan saya sampai awal, saya berpeluang untuk memilih meja yang terbaik. Saya pilih meja kecil di tepi dinding kerana tidak mahu diganggu.

Beberapa minit kemudian, ada seorang lelaki Cina duduk di hadapan saya. Dia minum kopi dan makan popia goreng. Saya hanya senyum pada dia, dan dia membalas.

Saya terus menikmati kopi hitam pekat, roti bakar dan buku tanpa peduli hingar bingar orang bercakap hal masing-masing.

Ketika tiba di bab 3 buku itu, seorang lelaki kurang lebih sebaya ayah saya duduk di depan saya. (Saya tidak sedar bila lelaki Cina sebelum itu angkat punggung dan pergi).

Uncle yang baru duduk menegur saya, “awak minat politik.” Sambil-sambil dia memesan kopi dan saya ikut serta menambah secawan kopi lagi.

Saya senyum dan membalas, “baca untuk tau.” Saya endah tidak endah kerana mahu tumpu pada naskhah berjudul “Kelantan Milik Siapa.”

Namun dia menyambung lagi. Dia kata kerajaan Kelantan hari ini tidak bagus. Tidak sama dengan gemulah Tok Guru Nik Aziz. Bla bla bla...

Saya tutup buku dan dengar. Dia berkata kita perlu maafkan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya dengar lagi.

“Uncle pergi Cherang dengar ceramah Mahathir, kaki terpijak dalam selut sampai dekat lutut, tapi Uncle nak dengar jugak,” katanya dalam dialek Kelantan pelat Cina.

Dia sambung lagi, katanya Kerajaan Pas Kelantan zalim, Kerajaan Pusat lagi teruk dari itu.

Saya layan lagi. Saya tidak mahu lintang angin.

Kemudian dia kata GST amat zalim. Harga barang naik, Susu pun kena GST, ikan pun jadi mahal sebab minyak naik.

Kali ini saya tidak boleh tahan. Saya katakan pada dia begini: “Uncle tahu dok, Kerajaan beri macam-macam subsidi kepada nelayan. Diesel murah, daratkan ikan pun ada subsidi. Harga ikan di pangkalan pun murah sebab itu nelayan terus miskin.

“Yang naikkan harga orang tengah, tidak semua yang jadi salah kerajaan.”

“Kerajaan salah sebab tak pantau, menteri tak cek, pengurus duduk ikan (LKIM) duduk saja,” dia bantah saya.

“Uncle, menteri dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pembuat dasar. Yang melaksanakan dasar adalah pegawai di bawah.

“Uncle tahu tak di bawah Kementerian Pertanian ada berapa agensi, berapa ramai pegawai dan kakitangan. Mampukah seorang menteri untuk pantau semua yang berlaku. Dasar kita sudah cantik tetapi pelaksanaan bocor.”

“Ya, saya tau ada seorang pengurus jabatan kerajaan, kawan saya, dia mana ada buat kerja, minum kopi saja,” uncle menjawab saya dan mula rasa tidak selesa.

“Saya tidak kata pegawai kerajaan tak buat kerja uncle, tapi kita semua kena ada tanggungjawab, kalau kita semua rakyat tolong menolong dan rasa tanggungjawab, orang tengah tak naikkan harga, takkan jadi macam,” saya berhenti sambil melambai pada boh Ju.

Uncle yang tidak selesa mahu angkat punggung. “Tak pa uncle duduk dulu, seorang sahaja kawan saya.”

Tidak sampai seminit, Chia dan Bob sampai. Uncle terus berkata,: “sudah ramai, tak muat, saya pergi dulu.”

Dia hulur tangan, salam dan senyum. “Ya uncle nanti kita bincang lagi.”
Kami berempat. Berbual hal kami, tidak lagi pasal politik.

Dan sehingga pukul 12.30 tengah malam ini, masih di bab tiga - MSO kritik Ahmad Yakob kerana tidak memilih Husam musa menjadi Exco - saya ingat-ingat lupa.

Inilah kopi terbaik di Kota Bharu selepas kopi kampung dari Sik yang dibancuh oleh isteri saya.

Pahit, kelat dan manis buah menjadikan kehidupan manusia sempurna.
 
Cerita di kedai kopi.
Oleh: Azran Fitri Rahim

No comments:

Post a Comment