Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan
Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga
golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah
hadis Qudsi.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah
ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa
pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka
terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Hadis
riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah
mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua.
Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah SWT
datang membantu.
Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah
kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman,
pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga,
masyarakat, pertubuhan dan organisasi.
Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat
yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia
tidak terlepas begitu saja.
Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita
menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal
salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat
kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak
sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat, ayat 46)
Selain berdoa kita perlu berusaha. Firman Allah SWT
bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." -
(Surah ar-Rad, ayat 11).
Keterangan daripada al-Quran dan hadis
memperlihatkan bahawa Allah mengharapkan agar setiap hamba itu berdoa
kepada-Nya, dalam setiap keadaan, ketika kaya, mewah, juga ketika dalam
kesusahan, kerana berdoa itu merupakan otak ibadah.
Allah SWT menjanjikan kemakbulan setiap
doa. Namun demikian andainya doa seseorang itu masih tidak dikabulkan, sakit
yang dideritai tidak sembuh-sembuh, biarpun puas berubat, hutang semakin banyak
biarpun usaha bisnes dilakukan bersungguh, ini tidak bermakna Allah SWT itu
memungkiri janji-janji-Nya.
Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan
qada dan qadar yang perlu difahami untuk dijadikan pegangan dalam usaha
melenyapkan rasa kecewa.
Andainya seseorang itu mengetahui rahsia
qada dan qadar, sudah pasti dia menerima apa saja yang ditentukan oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment