Kita berasa mual
melihat sikap segelintir di kalangan rakyat kita yang tidak mengendahkan soal
kebersihan. Sampah sarap dibuang merata-rata dengan alasan itu satu tindakan
yang mudah dilakukan. Mereka tidak mahu bersusah sedikit untuk membuang sampah
di tempat yang sepatutnya.
Ada segelintir
masyarakat yang hanya mementingkan kebersihan di dalam dan laman rumah sendiri
saja. Apabila berada di luar rumah, perbuatan buruk tidak mementingkan
kebersihan pula yang diamalkan.
Perbuatan membuang
sampah merata-rata amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW
amat mementingkan soal kebersihan dan menyatakan barang siapa membuang duri
(sampah) di jalan, itu adalah sebahagian tanda keimanan.
Jadi, fikirkan pula
bagaimana kedudukan mereka yang sengaja membuang sampah merata-rata. Apakah
kita sudah merasa cukup beriman dengan hanya sekadar mengaku beriman sedangkan
tingkahlaku menunjukkan sebaliknya.
Allah SWT amat murka
kepada mereka yang hanya pandai berkata-kata mengenai kebaikan, tetapi tidak
melakukannya. Mereka seperti mempermain-mainkan kebenaran, dan sebaliknya lebih
suka melakukan perbuatan salah.
Golongan yang tidak
mematuhi cara hidup ditetapkan oleh Islam sebenarnya juga turut mengidap
penyakit rohaninya. Mereka tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruk.
Sebab itu, masalah mengabaikan aspek kebersihan rohani dan jasmani semakin
menular di kalangan masyarakat yang tidak mematuhi kehendak agama.
Sesungguhnya, wabak
penyakit yang sering merebak di negara kita dapat diatasi atau dikawal
sekiranya rakyat lebih mementingkan soal kebersihan. Kita perlu faham bahawa
menjaga kebersihan jasmani juga sebahagian daripada amalan menjaga kebersihan
rohani.
Orang yang kotor
jasmaninya tidak akan sekali-kali bersih rohaninya. Rasulullah SAW sentiasa
menjaga kebersihan jasmani sebagai lambang kepada kebersihan rohani. Sebagai
umat Nabi Muhammad, wajar sekali kita melakukan sunah baginda dalam soal
menjaga kebersihan dan mencegah sesuatu wabak penyakit.
Marilah kita
mementingkan tindakan yang menjauhkan diri daripada bencana. Jika bencana itu
masih berlaku, maka terimalah dengan penuh reda dan berusaha untuk mengubah
kepada yang baik.
Sesungguhnya, segala bencana, penyakit,
kesusahan fizikal dan mental yang menimpa atau dialami seseorang yang menerima
ketentuan itu dengan penuh reda adalah menjadi kaffarah (penghapus dosa).
No comments:
Post a Comment