Tuesday, 28 August 2018

Mengenai al-Quran dan hadis

Al-Quran adalah anugerah terbesar Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda. Dari segi bahasa, al-Quran bermaksud bacaan. Manakala dari segi istilah al-Quran bermaksud kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril secara mutawatir di dalam bahasa Arab dan membacanya adalah ibadah.

Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk manusia.

Penurunan al-Quran dianggap mukjizat yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada seluruh umat manusia yang kekal hingga ke hari kiamat. Penurunan kitab menjadi wasilah untuk agama sampai kepada kita untuk dijadikan pegangan. 

Selain al-Quran, Allah juga menurunkan kitab-kitab kepada umat terdahulu. Namun kitab itu telah dimansuhkan penggunaannya apabila Al-Quran yang lengkap diturunkan. Tidak ada yang tertinggal, melainkan semuanya tercatat dalam al-Quran untuk panduan hidup manusia.   

Manakala, sunnah pula dari segi bahasa bermaksud jalan. Ia juga bererti "peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali." Di dalam istilah syarak, sunnah atau hadith bermaksud 'sesuatu yang terbit dari Nabi Muhammad SAW selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan." 

Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Sunnah ialah apa-apa yang disandarkan kepda Rasulullah SAW." Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Sesuai kedudukan Nabi Muhammad sebagai pembawa rahmat dan pemimpin ulung, setiap apa yang dilakukan oleh baginda sentiasa diperhati dan dicontohi oleh para sahabat. Pakar sejarah menyatakan tidak ada manusia di dunia ini yang mana setiap apa yang dilakukan, dicakap maupun ketika diamnya diperhati oleh orang lain untuk dijadikan ikutan.

Dalam perundangan Islam, sumber utama kepda sesuatu hukum ialah al-Quran dan al-sunnah atau dikenali dengan al-nas al-sharie. Hal ini bertepatan dengan perintah Allah seperti mana tercatat dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkannya."
         
Sunnah berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. Ia melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Manakala sunnah pula terdapat ratusan ribu yang tersebar di kalangan para sahabat dan dikumpul oleh para pakar hadis.

Maka itu, kita dapat bayangkan akan wujud bermacam-macam bentuk lafaz yang digunakan di dalam setiap dalil sama ada dari al-Quran mahupun sunnah. Ulama telah membahagikan kepada dua kategori, iaitu lafaz yang jelas dan lafaz yang tidak jelas.

No comments:

Post a Comment