Remaja
dahulu pun suka berkenalan. Bezanya tentu caranya tidak sama seperti sekarang.
Masa sekarang medan atau medium berkenalan ialah media sosial. Bagaimanapun, remaja
dahulu menjadikan majalah dan akhbar sebagai medium 'iklan' untuk mencari
kenalan, selain ada juga ruangan di radio.
Memandangkan
ramai yang meminati untuk berkenalan, kebanyakan majalah remaja 'wajib' ada
ruangan berkenalan. Kerana sambutan hangat, ada majalah yang menyediakan
sehingga dua muka surat khusus menyiarkan gambar untuk berkenalan.
Caranya,
sesiapa ingin mencari kenalan, akan menghantar gambar berserta sedikit mengenai
biodata seperti nama, umur, alamat, kegemaran, pekerjaan dan sebagainya. Selain
itu, ada juga pihak editor mensyaratkan perlu menyertakan karya seperti pantun,
puisi atau madah.
Pembaca
yang mencari kenalan akan mengutuskan surat kepada bakal kenalan. Dari situ
mereka mula berutus surat. Maka jadilah mereka 'pen pal' atau 'sahabat pena'.
Ketika itu, surat menjadi penghubung sahabat pena. Kehadiran posmen ke rumah
memang dinanti-nanti.
Ketika
itu kebanyakan alamat surat menyurat menggunakan alamat kedai kopi, balai raya
dan rumah ketua kampung. Maka itu berlonggok-longgoklah surat dikumpulkan setempat.
Setiap hari penanti surat dari sahabat pena akan mencari atau menanti surat
masing-masing.
Kedatangan
surat dari sahabat pena memang dinanti-nantikan. Hubungan mereka ada yang
sebagai adik dan kakak atau abang angkat, tidak kurang juga yang menjadi
pasangan kekasih setelah sekian lama berkenalan. Inilah yang dikatakan surat
penuh bedak dan kertas warna warni. Dan hubungan itu berakhir di alam
perkahwinan.
No comments:
Post a Comment