Kehidupan di dunia
diumpamakan seperti petani mengerjakan ladang untuk menyediakan bekalan di
akhirat. Sesiapa yang bersungguh-sungguh mengumpulkan hasil yang baik pasti
akan menikmati kehidupan yang bahagia.
Namun, manusia sentiasa
berdepan cabaran dan godaan yang melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab
melakukan ibadat kepda Allah SWT. Rugilah sesiapa tiba masa ajal, bekalan yang
dibawa ke akhirat lebih banyak keburukan berbanding pahala.
Sebab itu, kita perlu
sentiasa bercita-cita ingin melakukan kebaikan sebelum terlambat. Sesiapa ingin
melakukan kebaikan, sudah mendapat pahala biarpun belum sempat melakukannya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan kebaikan namun tidak jadi
melakukannya, akan ditulis untuk kebaikan sempurna. Dan sesiapa yang
berkeinginan untuk melakukannya lalu ia benar-benar melakukannya, maka ditulis
untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak
terbatas. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Pun, tidak bermakna kita
boleh mempermainkan niat yang baik. Kita perlu berusaha melakukan seperti yang
dicita-citakan. Tentu sekali kita tidak mahu mempersia-siakan peluang melakukan
kebaikan kerana kehidupan di akhirat itu lebih utama.
Firman
Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih
baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia)
tidak mahu memikirkannya?." (Surah Yusuf, ayat 109)
Sesungguhnya setiap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk tidak terkecuali biarpun satu, dicatat dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikatnya untuk dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Catatan itu tidak mungkin silap atau berlaku pilih kasih. Malaikat Raqib di sebelah kiri mencatat amalan jahat sementara Malaikat Atid di sebelah kanan mencatat amalan baik.
Sesungguhnya setiap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk tidak terkecuali biarpun satu, dicatat dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikatnya untuk dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Catatan itu tidak mungkin silap atau berlaku pilih kasih. Malaikat Raqib di sebelah kiri mencatat amalan jahat sementara Malaikat Atid di sebelah kanan mencatat amalan baik.
Justeru, kehidupan di
dunia perlu selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup
maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat
bertamadun dan berintegriti. Kehidupan yang berteraskan ajaran agama membawa
kesan kebaikan berterusan dan sukar digugat oleh hasutan syaitan.
Peluang untuk melakukan
kebaikan sentiasa terbuka dan tidak sukar untuk dilakukan. Melakukan perbuatan
mudah seperti mengalihkan ranting atau sampah di jalan raya juga satu perkara
kebaikan yang diganjari kebajikan di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok
yang berduri lalu dialihkan ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada
lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Justeru, jangan lepaskan
peluang untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dengan amalan yang mudah.
Sesudah ia menjadi satu kebiasaan, tidak sukar untuk melakukan secara
berterusan.
Ironinya, banyak orang
menganggap perkara itu tidak penting. Mereka sukar untuk melakukan kebaikan
walaupun perkara kecil. Mereka lebih mengejar melakukan perkara yang
mendatangkan keuntungan dan dapat memberi kesenangan hidup di dunia tanpa
memikirkan perkara itu halal atau haram.
Sesungguhnya, janganlah kita
berangan ingin memasuki syurga Allah SWT jika usaha dan gaya hidup dipenuhi
budaya maksiat. Mereka yang dilalaikan dengan kehidupan dunia mengharapkan
dapat hidup lama dan menikmati sepenuhnya apa yang dimiliki.
Sebenarnya harapan itu
sekadar satu impian tidak menjadi kenyataan. Bahkan, semakin lama mereka hidup,
lebih banyak keburukan dan dosa dilakukan.
Mereka bakal menerima azab Allah SWT di akhirat kelak.
Firman
Allah SWT bermaksud: "Dan sungguh,
engkau (Muhammad) akan mendapati mereka (Orang-orang Yahudi), manusia yang
paling tamak akan kehidupan (dunia), bahkan (lebih tamak) dari orang-orang
musyrik. Masing-masing dari mereka, ingin diberi umur seribu tahun, padahal
umur panjang itu tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Dan Allah Maha melihat
apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 96)
No comments:
Post a Comment